SOSIOLOGI
PENDIDIKAN
Hjh Hamidah
Syr/07
1. HURAIAN KONSEP SOSIOLOGI PENDIDIKAN
Definisi Disiplin Sosiologi:
· Iaitu satu bidang pelajaran sains sosial yang dianggap teras kepada disiplin sains sosial bagi mengkaji tingkahlaku kelompok manusia yang besar serta moden dan bagaimana kelompok itu berinteraksi di antara satu dengan yang lain yang boleh berlaku di mana-mana tempat dan berbagai-bagai kaum, budaya dan masyarakat.
· Kajian sosiologi adalah sistematik, ada data dan analisis yang dapat dibuat satu projek yang baik dan menyeluruh seperti sains psikologi.
· Dalam sains sosial ada cabang-cabangnya, antaranya ialah Sosiologi, Antropologi, Sejarah, Sains politik, Ekonomi, Psikologi.
· Dalam sosiologi ada cabang-cabangnya iaitu sosiologi pendidikan, kesihatan, perubatan, industri dan pembangunan.
Konsep Sosiologi Pendidikan:
· Sosiologi adalah bidang ilmu pengetahuan moden yang ada hubungannya dengan masyarakat.
· Menurut Zanden (1996), sosiologi adalah kajian saintifik mengenai interaksi sosial dan organisasi.
· Jary (1995) berpendapat sosiologi adalah suatu bidang kajian yang secara saintifik mengkaji masyarakat daripada pelbagai sudut seperti melihat fungsi masyarakat, bentuk organisasi sosial, perkembangan kebudayaan dan jenis-jenisnya.
· Giddens (1993) pula berpendapat sosiologi adalah kajian mengenai kehidupan sosial manusia, kumpulan-kumpulan dan masyarakat. Sosiologi akan memberikan manusia pemahaman bagaimana pengaruh-pengaruh sosial telah mencorakkan ke hadapan mereka.
· Mills (1959) memperkenalkan konsep imaginasi sosiologikal yang bermaksud menyedari perhubungan antara individu, pengalaman dan masyarakat. Ia tidak boleh dianggap khayalan. Ia berkaitan dengan kebolehan kita dalam meletakkan diri dalam konteks struktur sosial. Dengan kata lain, kita menggunakan imaginasi sosiologi untuk memahami kedudukan diri kita dan juga kedudukan orang lain dalam masyarakat.
· Untuk mencapai tahap imaginasi kita perlulah terlebih dahulu mempunyai pemikiran yang dianggap sosiologikal iaitu menggunakan kuasa imaginasi dalam mendapatkan pengetahuan. Seorang sosiologis mesti dapat berpisah daripada hal-hal peribadi, berfikiran terbuka dan tidak mencampuradukkan pemikiran sosial dengan kebiasaan kehidupan seharian. Maksudnya, kita mesti terima akan kehidupan (gaya hidup) masyarakat yang lain dengan membuangkan siapa diri kita sebenarnya agar kita dapat dan faham akan kehidupan mereka sebenarnya.
· Sesuatu yang diimaginasikan dianggap sesuatu yang baru agar mudah menganalisis dan memahami isu-isu sosial semasa yang selalunya merupakan perkara yang dianggap biasa.
· Imaginasi sosiologi berkait rapat dengan peranan seseorang dalam masyarakat seperti peranan guru, ibubapa dan sebagainya dan juga berkait rapat dengan struktur sosial iaitu di mana sesuatu peranan itu berfungsi. Misalnya, guru peranannya di dalam pendidikan dan bertugas di sekolah dan bapa pula berperanan di dalam keluarga. Dengan adanya pengaruh sosial, personaliti seseorang itu akan dapat ditentukan oleh peranan dan struktur sosial. Oleh itu, untuk menyelesaikan masalah sosial adalah dengan mengubah peranan dan struktur sosial yang ada.
· Kesimpulannya, imaginasi sosiologikal merupakan keupayaan seseorang dalam melihat kehidupannya dan kehidupan orang lain sebagai berada pada struktur sosial tertentu.
· Sebagai rumusan, sosiologi adalah merupakan suatu kajian yang sistematik dan saintifik mengkaji tentang manusia dan interaksi sosial dalam masyarakat daripada pelbagai sudut. Melalui interaksi bermacam-macam fenomena sosial akan berlaku, sama ada sesuatu perkara itu akan berkekalan, berubah, berkembang, ditinggalkan ataupun mundur. Sosiologi memfokus kepada kajian penghidupan sosial di zaman yang dianggap moden. Disebabkan bahan kajiannya adalah masyarakat, maka skop kajian adalah sangat luas bermula dari peringkat yang paling kecil hubungan antara manusia (seperti hal percintaan, perkahwinan) hinggalah ke proses sosial yang besar (seperti isu peperangan, globalisasi) – dari peringkat keluarga hinggalah peringkat dunia. Dalam konteks pendidikan, sosiologi membawa perubahan kepada pendidikan dalam sesebuah negara.
Perbezaan Sosiologi Dengan Antropologi Dan Psikologi:
· Sosiologi tergolong dalam bidang sains sosial yang menjadikan manusia sebagai fokus kajian utama sebagaimana bidang sains sosial yang lain seperti psikologi dan antropologi. Namun terdapat perbezaan di antara kajian sosiologi dengan antropologi dan psikologi sekalipun bersamaan pada fokus kajian iaitu aspek tingkahlaku manusia.
· Perbezaannya ialah:
1. Bidang Antropologi:
· Antropologi adalah di antara bidang sains sosial yang lebih awal daripada sosiologi.
· Antropologi mengkaji kelompok kecil masyarakat primitif seperti kajian masyarakat punan di Sarawak oleh Bruner Manser.
2. Bidang Psikologi:
· Kajian psikologi mengenai perkembangan individu, misalnya melihat ciri-ciri personaliti. Ringkasnya, psikologi lebih tertumpu kepada kajian tingkahlaku dalaman individu.
3. Bidang Sosiologi:
· Sosiologi mengkaji masyarakat moden atau masyarakat perindustrian.
· Skop kajian sosiologi merangkumi kajian-kajian bandar, luar bandar, negara, hubungan antara manusia dengan manusia, kelompok, komuniti, politik dan lain-lain.
· Kajian sosiologi lebih bersifat tingkahlaku luaran individu.
· Kajian sosiologi meliputi juga peringkat yang lebih besar dan luas termasuklah kumpulan-kumpulan dan masyarakat.
· Disiplin sosiologi merangkumi bidang pembangunan, industri, kesihatan dan perubatan, undang-undang, pendidikan dan sebagainya.
· Sosiologi merupakan pusat sains sosial.
Pengertian Sosiologi:
· Perkataan sosiologi mula digunakan oleh Auguste Comte (1798-1857) di Perancis melalui karyanya yang bertajuk Positive Philosophy.
· Perkataan sosiologi ialah daripada perkataan Latin socio yang bermaksud berkongsi dan dalam bahasa Yunani dan Roman bermaksud pengetahuan mengenai masyarakat. Perkataan logos pula bermaksud kajian terhadap sesuatu. Beliau menggabungkan kedua perkataan tersebut menjadi sosiologi.
· Tetapi menurut Ritzer (1992), seorang sarjana barat, ilmu sosiologi telah ada beratus tahun lamanya sebelum lahirnya perkataan sosiologi yang dikenali sebagai ‘ilm al-Ijtima’i yang diasaskan oleh seorang tokoh pemikir Islam iaitu Ibnu Khaldun.
· Menurut Ibnu Khaldun, kajian masyarakat adalah merupakan bidang sains yang berdiri sendiri dan memiliki objeknya yang tersendiri iaitu peradaban manusia dan organisasi sosialnya. Menurut beliau lagi, ciri-ciri masyarakat moden itu telah wujud sebelum revolusi perindustrian di Eropah. Ini bererti masyarakat Islam sebenarnya sudah awal mencipta tamadun moden. Buktinya dapat ditinjau melalui karyanya Mukadimah yang ada menyentuh tentang peradaban masyarakat Badwi, pembentukan kerajaan, kewujudan negara kota, perhubungan sosial, perkembangan ekonomi dan tentang ilmu pengetahuan.
· Pertubuhan sosiologi Amerika Syarikat berpendapat bahawa sosiologi dianggap ilmu yang saintifik kerana ada kelogikannya, bukti, akal, kajian terbaru, pemerhatian, guna generalisasi, merekod, ada kebenaran, bersistematik, analisis, bersifat objektif (tiada dipengaruhi kepercayaan atau nilai) dan soal selidik. Dengan kata lain, ia adalah bidang baru yang berasaskan kajian secara sistematik dan objektif kajiannya tentang tingkahlaku atau pergaulan masyarakat dan hubungan manusia.
· Sosiologi bukan sains fizikal atau kemanusiaan tetapi ia terletak di tengah-tengah.
· Tujuan utama sosiologi ialah untuk mengetahui struktur asas masyarakat manusia dengan mengenal pasti tekanan-tekanan utama yang mengerat atau melemahkan mereka dan mempelajari syarat-syarat yang membentuk kehidupan sosial mereka agar dapat difahami dan dapat menyelesaikan masalah tingkah laku masyarakat dan meramal perubahan masyarakat.
Perspektif Sosiologi:
· Disiplin sosiologi mempunyai perspektifnya yang tersendiri tentang masyarakat dan tingkahlaku sosial.
· Persoalan yang dikaji oleh ahli-ahli sosiologi adalah:
1. Berasaskan pada teori, analisis dan tafsiran data secara saintifik.
2. Setiap laporan daripada ahli sosiologi adalah tepat dan seboleh-bolehnya mengelakkan berlakunya berat sebelah. Dengan kata lain, hasil kajian daripada ahli-ahli sosiologi adalah bersifat objektif.
3. Ahli-ahli sosiologi juga menggunakan kaedah empirik dan saintifik untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai tingkahlaku manusia yang disebut perspektif sosiologi sebagaimana menurut T.Marimuthu.
4. Kajian meliputi bidang mikro (kecil) dan makro (besar) yang saling berkaitan. Misalnya, masalah individu seperti penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan masalah kecurian di mana melibatkan masalah orang ramai. Maksudnya, ia bukan sahaja memberi kesan yang buruk kepada individu yang berkenaan bahkan juga kepada masyarakat sekeliling.
Sejarah Perkembangan Sosiologi:
· Perkembangan ilmu sosiologi perlu dikaitkan dengan sarjana Islam iaitu Ibnu Khalsun (1332-1406). Beliau lahir di Tunis, sangat bijak dalam bidang kemasyrakatan terutamanya bidang sosiologi. Selain itu, beliau menguasai Al-Quran, matematik dan sejarah. Ramai sarjana Islam menegaskan bahawa ilmu sosiologi telah wujud beratus tahun lamanya sebelum lahirnya perkataan sosiologi.
· Dalam karyanya Mukaddimah, beliau membincangkan dengan mendalam mengenai peradaban masyarakat Badwi, pembentukan kerajaan, kewujudan negara kota, perhubungan sosial, perkembangan ekonomi dan tentang ilmu pengetahuan. Beliau membezakan antara masyarakat primitif dan moden. Ibnu Khaldun mengkaji berbagai-bagai institusi sosial seprti politik dan ekonomi serta meneliti saling hubungan antara institusi-institusi sosial berkenaan. Malah Ibnu Khaldun telah memperkenalkan beberapa konsep penting sosiologi seperti perbandingan desa dan kota, asabiyah atau solidariti sosial, perubahan sosial serta bidang-bidang berkaitan sosiologi politik, ekonomi dan sejarah.
· Beliau telah mengkaji masyarakat dengan cara pengkajian yang saintifik dan melakukan penyelidikan empirikal dalam mencari punca-punca fenomena sosial.
· Beliau adalah merupakan seorang ahli falsafah, ahli pentadbir dan penasihat kerajaan dan dianggap ahli sains sosial serta bapa kepada ilmu sosiologi. Dalam pandangan Islam seperti yang telah dikemukakan oleh Ibnu Khaldun, ciri-ciri masyarakat yang dianggap moden itu sebenarnya telah wujud lama sebelum revolusi perindustrian di Eropah. Pada abad pertengahan dunia Islam telah jauh lebih maju berbanding dengan Eropah. Ertinya, masyarakat Islam sebenarnya telah mencipta tamadun moden sebelum Eropah.
· Kaedah kajian sosial yang digunakan oleh Ibn Khaldun tidak berbeza daripada metodologi kajian yang dianggap saintifik yang dibuat oleh tokoh-tokoh awal barat. Apa yang membezakan adalah sosiologi Islam yang berpandukan dan bermatlamatkan agama sepertimana yang diungkapkannya, ‘Ilmu pengetahuan hanya datang daripada Allah Subhanahu Wataala yang Berkuasa, yang Maha Bijaksana’ (1993). Berdasarkan sumbangan Ibnu Khaldun itu, kita mungkin dapat merumuskan beliau sebagai bapa sosiologi moden.
· Pada abad ke-18 dan 19 muncul pula ahli-ahli sosiologi moden di Barat yang mengemudi bidang sosiologi seperti Auguste Comte (Perancis), Herbert Spencer dengan karyanya Principles of Sosiologi (England), Karl Marx, Emile Durkheim, Max Weber dan lain-lain. Karl Marx berpendapat dalam masyarakat itu ada konflik dan tidak percaya ada suatu sistem yang baik. Oleh itu, beliau menyeru kepada ahli-ahli sains sosial supaya bukan sahaja memahami sesuatu masyarakat tetapi perlu juga pada mengubahnya. Max Weber pula berpendapat manusia perlu disatukan dalam kumpulan tertentu agar menjadi unit asas masyarakat. Penyatuan perlu diadakan kerana lapisan atau kelas masyarakat akan wujud akibat daripada tekanan ekonomi, sosial dan juga politik.
· Pada zaman ini ramai ahli fikir yang mahu memisahkan disiplin sosiologi dengan disiplin lain termasuk falsafah yang berpunca berekoran peristiwa revolusi perindustrian di Eropah dan Amerika Utara yang menjadi titik tolak kepada zaman yang dianggap moden dan memisahkannya dengan zaman tradisi.
· Dalam konteks perkembangan sains, kemunculan sosiologi telah memisahkannya dengan kajian antropologi. Revolusi perindustrian telah menyebabkan perubahan dalam cara kehidupan manusia dan merubah corak masyarkat. Pada zaman moden, perubahan-perubahan yang drastik dalam masyarakat telah dilihat oleh tokoh-tokoh sosial dan timbul minat mereka untuk mengkajinya. Ciptaan-ciptaan, teknologi moden, pekerjaan baru, pola pengkhususan dan sebagainya telah merubah begitu sekali masyarakat hinggakan dalam kemajuan yang pesat itu telah wujud juga pelbagai masalah.
· Ahli-ahli sains pada peringkat permulaan telah cuba mengkaji masyarakt dengan membandingkannya dengan kaedah-kaedah sains yang sedia ada. Sebagai contoh mereka mula memikirkan cara mengatasi masalah sosial moden dengan perbandingan kepada gejala fizikal, misalnya jika masalah banjir boleh diatasi dengan membina empangan, adakah cara yang serupa dapat mengawal wabak sosial yang melanda masyarakat?
· Di Amerika Syarikat, bidang sosiologi juga berkembang pada penghujung abad ke-19 di mana ia banyak menumpukan pada kajian tentang masyarakt perindustrian, corak hidup, kenakalan remaja, kemiskinan dan juga jenayah. Hal tersebut banyak disentuh oleh Lester F.Ward melalui karyanya Dynamic Sociology.
· Pada tahun 1896, muncul penyelidikan pertama iaitu The American Journal Of Sociology. Antara kandungannya ialah berkaitan dengan cadangan tentang penyelesaian masalah sosial. Penyelesaian ini penting kerana ketika itu berbagai-bagai masalah sosial wujud akibat daripada perbandaran dan perindustrian.
· Perkembangan ilmu sosiologi juga dikaitkan dengan penubuhan Jabatan Akademik pertama di Universiti Chicago pada sekitar tahun 1890an. Sejak penubuhan tersebut, ramai ahli sosiologi muncul dengan dikenali sebagai ‘Chicago School’ yang memfokuskan kepada masalah serta pembaharuan sosial. Antaranya ialah Robert E.Park, W.I.Thomas dan Ernest W.Burgess.
· Perkembangan ilmu sosiologi di Amerika pada awal abad ke-20 dikaitkan juga dengan tokoh yang bernama Talcott Parson dan Robert K.Merton. Hasil Parson yang terkenal ialah The Structure of Social Action (1957) dan The Social System (1951). Sementara sumbangan penting Merton ialah Social Theory And Social Structure (1949). Parson dan Merton juga bertanggungjawab dalam perkembangan teori fungsionalisme.
· Pada tahun 1910-1926, perkembangan bidang sosiologi di Amerika Syarikat semakin cepat dan semakin mendapat sambutan ramai di mana kolej dan Universiti Amerika banyak menawarkan kursus sosiologi sehingga tahun 1960an perkembangan sosiologi pendidikan di Amerika Syarikat meningkat sejak penerbitan buku Sociology of Teaching (1932) oleh Waller.
· Di Malaysia, bidang sosiologi dianggap bidang baru yang diperkenalkan selepas tertubuhnya universiti tempatan. Pada mulanya, kursus sosiologi diperkenalkan oleh Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Pada tahun 1971, bidang sosiologi mula berkembang apabila Universiti Malaya menubuhkan Jabatan Antropologi dan Sosiologi.
· Di Universiti Sains Malaysia, bidang sosiologi mula diperkenalkan pada tahun 1970 apabila Pusat Pengajian Perbandingan Sains Sosial diperkenalkan.
· Seterusnya bidang ini diperkenalkan terus di Universiti Kebangsaan Malaysia, Univerisiti Pertanian Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan lain-lain universiti. Sesetengah universiti meletakkan sosiologi di bawah disiplin yang berasingan dan semakin mendapat perhatian umum. Misalnya, Universiti Kebangsaan Malaysia yang meletakkan kursus-kursus yang berkaitan sosiologi di bawah Jabatan Antropologi dan Sosiologi. Antara tenaga pengajarnya ialah Prof. Dr Hood Hj Salleh dan juga Dr Shamsul Amri Baharuddin sehingga hari ini negara Malaysia telah banyak melahirkan tokoh yang membicarakan aspek sosiologi seperti Prof. Mohd. Taib Osman, Syed Hussein Ali, De Jong, Syed Hussein Al-Attas, Kahar Bador dan lain-lain. Sumbangan mereka adalah penting kerana dapat menyelesaikan berbagai krisis sosial yang melanda negara Malaysia.
Tokoh Sosiologi Yang Membentuk Perspektif Sosiologi:
· Auguste Comte (1798-1857):
Seorang ahli falsafah Perancis yang dilahirkan dan dibesarkan di zaman revolusi Perancis yang dianggap bapa sosiologi kerana sumbangannya memperkenalkan perkataan sosiologi. Sosiologi menurut pandangan beliau adalah merupakan ilmu sains yang terakhir sekali diperkenalkan, merupakan yang paling signifikan dan yang paling kompleks berbanding sains-sains yang lain. Comte menekankan supaya pengkajian masyarakat mestilah dibuat secara saintifik dan sistematik. Beliau berharap sosiologi dapat menyumbang ke arah kesejahteraan individu. Oleh itu, beliau mempunyai cita-cita yang tinggi untuk mengubah masyarakat Perancis dan juga dunia dengan motonya yang tersendiri iaitu order and progress. Comte membahagikan pengkajian masyarakat kepada 2 bahagian iaitu:
1. Statik sosial yang merujuk kepada aspek-aspek kehidupan yang ada hubungannya dengan peraturan dan stabiliti yang menyebabkan masyarakat dapat bersatu dan bertahan.
2. Dinamik sosial pula merujuk kepada aspek-aspek kehidupan sosial yang berkaitan dengan perubahan sosial dan corak perkembangan institusi dengan menekankan kepada perkembangan pembahagian tugas dalam masyarakat moden.
Menurut Comte, masyarakat berkembang melalui tiga proses evolusi, iaitu:
1. Peringkat teologikal iaitu kepercayaan bahawa semua perkara yang berlaku adalah disebabkan oleh kuasa ghaib (supernatural). Maksudnya, manusia bergantung kepada kebolehan akal fikiran untuk memahami peristiwa yang dialami dan persekitaran yang diduduki. Secara khususnya, dunia sosial dan fizikal dilihat sebagai dihasilkan oleh tuhan.
2. Peringkat metafizikal yang mana pada peringkat ini semangat yang bersifat perseorangan yang telah membawa kepada kepercayaan terhadap semangat yang abstrak seperti kudrat alam melampaui tuhan-tuhan yang maujud. Ringkasnya, kepercayaan adalah berbentuk virtual (mutlak/sebenarnya).
3. Peringkat positif yang mana ciri utamanya adalah kepercayaan kepada sains. Misalnya, hujan disebabkan adanya awan. Untuk menerangkannya memerlukan kepada fakta. Pada peringkat ini, manusia mula mencari sebab-sebab yang mutlak. Mereka menumpukan pemerhatian kepada dunia sosial dan fizikal dalam menentukan apakah sebenarnya peraturan-peraturan yang menyebabkan kewujudan dunia dan segala yang di dalamnya dalam dunia sosial dan fizikal manusia. Di sinilah sosiologi memainkan peranannya dalam semua bidang.
Keseluruhan sosiologi Comte adalah berbentuk makro. Beliau telah menyumbangkan banyak perkara yang antaranya penganalisaan struktur sosial dan perubahan sosial, menekankan ciri-ciri sistematik masyarakat, evolusi dunia, melihat kepentingan konsensus, penekanan terhadap penterorian abstrak, kaedah penyelidikan sosiologikal (pemerhatian, eksperimen dan kajian perbandingan sejarah), pandangan saintifik mengenai masyarakat dan beliaulah orang pertama mempercayai bahawa sosiologi pasti akan menjadi bidang saintifik yang dominan di dunia. Hingga sekarang Comte telah mempengaruhi ramai ahli-ahli sosiologi terutamanya golongan fungsionalisme.
· Herbert Spenser (Teori Fungsionalisme):
Beliau seorang ahli falsafah Inggeris yang memberi sumbangan besar dalam pengkajian perubahan sosial. Masyarakat dibina berdasarkan kekeluargaan, penyatuan kumpulan, agama, pendidikan, negara dan ekonomi untuk membentuk kestabilan sosial. Beliau percaya kehidupan masyarakat manusia adalah sebagai satu sistem yang berjalan sendiri yang kuat dan mampu untuk hidup. Ini bererti manusia perlu bersaing dengan persekitaran untuk mendapatkan kemajuan. Masyarakat berkembang melalui penggandaan anggota dan penyatuan kumpulan yang membawa kepada bertambahnya perbezaan struktur sosial dan perbezaan fungis-fungsi yang dimainkan. Perkembangan sosial selalunya menyebabkan perbezaan dan integrasi struktur.
· Karl Marx (Teori Konflik):
Beliau seorang ahli falsafah, ahli ekonomi dan ahli revolusi berasal dari Jerman yang meninggal dunia di England setelah dibuang negara kerana idea-ideanya yang radikal. Menurut beliau, perubahan sosial berpunca daripada pengaruh ekonomi. Dalam sistem moden, mereka yang mempunyai modal yang besar mendominasi ekonomi dengan mengawal faktor-faktor pengeluaran sementara yang lain pula sebagai pekerja kerana ketiadaan modal. Akhirnya wujud konflik dan pertentangan antara dua kelas berkenaan.
· Emile Durkheim (Teori Funsionalisme):
Beliau berasal daripada keluarga kelas menengah Perancis melihat pentingnya kestabilan dan kesejahteraan kehidupan individu dalam masyarakat. Fenomena sosial berlaku disebabkan oleh faktor sosial yang mempunyai pelbagai perbezaan. Agama dianggap penting untuk penyatuan masyarakat dan pembangunan negara. Keperluan mematuhi peraturan dengan keperluan kebebasan mestilah seimbang. Jika tidak, orang akan hilang arah dan sosiologi pula dianggap sebagai pemandu arah agar manusia tidak terperangkap.
· Max Weber (Teori Konflik):
Beliau seorang ahli sejarah sosial berbangsa Jerman. Sumbangannya yang besar ialah memperkenalkan konsep birokrasi dan menjelaskan ciri-ciri birokrasi yang bersifat unggul seperti ada pembahagian tugas, pekerja dipilih berdasarkan syarat-syarat kelulusan, ada peraturan, pekerja taat setia kepada peraturan, kakitangan bekerja sepenuh masa, ada struktur formal di mana pekerja bertanggungjawab kepada ketuanya dan terdapat pejabat awam.
Antara Tujuan Mempelajari Sosiologi:
1. Untuk memahami situasi sosial memandangkan sosiologi banyak membicarakan tentang kehidupan sosial manusia dan masyarakatnya, sudah pasti dapat membentuk individu yang faham akan erti kehidupan bermasyarakat yang sebenar.
2. Penggubalan polisi memandangkan polisi digubal untuk rakyat. Oleh itu dengan adanya kefahaman dan ramalan tentang masyarakat tentu memudahkan penggubalan polisi yang sesuai.
3. Untuk menilai keberkesanan sesuatu polisi sama ada berjaya atau adanya halangan ataupun gagal.
4. Kesedaran sosial. Sebagai contoh sekiranya dasar-dasar pihak yang mempunyai kuasa tidak membuat keputusan yang adil untuk pihak yang dikuasainya, maka pengetahuan sosiologi dapat melahirkan kesedaran sosial. Pihak yang tertekan bolehlah menyuarakan kepada pihak-pihak berkenaan. Dengan itu tidak mustahil keadilan sosial dapat dicapai.
5. Kesedaran mengenai perbezaan budaya. Kumpulan-kumpulan yang berbeza dalam masyarakat akan lebih memahami antara satu sama lain. Ini sangat penting dalam sebuah negara yang berbilang etnik di mana prejudis terhadap budaya lain dapat dielakkan.
Pendidikan Dan Sosiologi Pendidikan:
Pendidikan formal sudah lama wujud. Sekolah berasal daripada perkataan Greek bermaksud masa lapang atau rekreasi. Arus pendidikan sentiasa berubah-ubah daripada segala aspek bermula daripada peringkat rendah, menengah dan seterusnya IPTA. Pendidikan adalah modal atau aset terpenting kepada masyarakat. Di sekolah rendah, kanak-kanak sudah mula disarankan agar belajar setinggi-tingginya, namun tidak semua murid berjaya mencapainya. Di sinilah kepentingan sosiologi pendidikan itu.
Antara Kepentingan Sosiologi Pendidikan:
1. Mengkaji bagaimana pendidikan dapat digunakan untuk membantu individu-individu dan masyarakat.
2. Mengkaji kesamaan dan ketidaksamaan dalam pendidikan supaya polisi yang bersesuaian dapat dipraktikkan.
3. Memberi gambaran yang jelas kepada semua pihak yang terlibat mengenai organisasi sekolah dan persekitarannya.
4. Meningkatkan penguasaan konsep dan kemahiran para pendidik untuk berhadapan dengan para pelajar yang mempunyai latar belakang yang berlainan seperti berbeza dari segi jantina, etnik dan kelas sosial.
5. Supaya guru mempunyai keseimbangan ilmu mengenai manusia.
6. Untuk menguasai bentuk-bentuk interaksi murid dalam bilik darjah yang seterusnya membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pandangan Sosiologi Terhadap Pendidikan:
1. Pendidikan sebagai kawalan sosial. Sistem kawalan sosial perlu ada dalam masyarakat. Sebagai contoh, sistem pentadbiran pendidikan di Brunei ada yang mengawalnya iaitu Kementerian Pendidikan, organisasi tertentu, kuasa politik, ibu bapa dan lain-lain. Termasuk juga pemberian bantuan kewangan, mengagihkan keperluan guru, menjamin status akademik dan lain-lain.
2. Pendidikan sebagai penyebaran kebudayaan. Di sesebuah sekolah, murid-muridnya terdiri daripada pelbagai kaum yang secara tidak langsung memperkenalkan pakaian, budaya dan bahasa yang tersendiri pada masa-masa yang tertentu.
3. Pendidikan sebagai pemilihan dan susun lapis sosial. Konsep ketidaksamaan sosial walau di mana-mana negara pun sukar diatasi sebab setiap masyarakat ingin mengekalkan statusnya. Sebagai contoh, ibu bapa merasa megah apabila ada anak-anak mereka berjaya masuk ke sekolah yang cemerlang seperti sekolah maktab sains di negara ini dibandingkan sekolah kerajaan yang biasa kerana menganggap sekolah tersebut lebih berkualiti. Dalam hal ini, sosiologi menunjukkan bagaimana susun lapis (strata) masyarakat mempengaruhi sekolah dan bagaimana pula sekolah mempengaruhi strata.
4. Pendidikan sebagai alat penapis. Pendidikan bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang profesional dan maju mengikut bidang-bidang tertentu yang mereka sukai bergantung kepada kelayakkan pendidikan mereka. Selepas lulus tingkatan 5 atau 6, pelajar dialirkan ke kolej, universiti atau pusat latihan bergantung kelulusan yang diperolehi.
5. Pendidikan dan mobiliti sosial. Sekarang sekolah sudah banyak dibina di sana-sini, semuanya bertujuan agar masyarakat dapat berubah. Murid-murid yang tinggal di luar bandar pun sudah mempunyai peluang untuk mendapatkan pendidikan seperti puak iban, murut dan lain-lain.
6. Pendidikan sebagai sumber status. Orang yang mempunyai pendidikan tinggi sudah pasti akan mendapat kerjaya yang memuaskan dengan memiliki pangkat, gaji yang tinggi dan memegang jawatan penting seperti mendapat gelaran datuk, pehin dan sebagainya.
7. Pendidikan sebagai institusi penting. Sekolah, kolej atau universiti adalah merupakan institusi penting yang dikenali di seluruh lapisan masyarkat sebagai bertapak kukuh dalam masyarakat.
1. SEKOLAH SEBAGAI ORGANISASI SOSIAL
Definisi Sekolah:
· Sekolah dalam bahasa Inggeris ialah school. Perkataan ini diambil daripada Yunani yang bermaksud “masa lapang”. Sekolah merupakan institusi pendidikan yang berbentuk formal di mana ia boleh membentuk pemikiran, tingkah laku dan sikap murid-murid bagi melahirkan generasi seimbang baik dari segi mental dan rohani.
· Dalam konteks sekarang, sekolah merupakan sebagai agen berlakunya perubahan sosialisasi dan sekolah juga sebagai sebuah komuniti di mana ia mengandungi beberapa kakitangan yang mempunyai peranan yang tersendiri seperti ada guru besar, guru, pelajar, kakitangan dan lain-lain.
· Wujudnya sekolah adalah atas desakan masyarakat, sosial, keperluan ekonomi dan negara. Sekolah merupakan institusi yang amat penting kerana tanpa sekolah masyarakat akan menjadi mundur dan buta huruf.
· Setiap lapisan masyarakat berhak mendapat pendidikan. Di Brunei, sekolah Melayu sudah lama ditubuhkan semenjak tahun 1912 lagi, diikuti pula dengan tertubuhnya sekolah Inggeris bukan kerajaan pada tahun 1931 atas desakan masyarakat Cina di Seria sehinggalah pada tahun 1951 barulah kerajaan menubuhkan sekolah Inggeris.
Komuniti Sekolah/Sistem Sosial/Organisasi Sekolah:
· Sekolah adalah institusi yang dirancang dan diwujudkan mengikut kehendak dan keperluan masyarakat untuk memberi pendidikan kepada anak-anak secara teratur dan tersusun. Ia mempunyai matlamat yang unggul iaitu menyampaikan ilmu, membentuk peribadi dan mengembangkan akal. Berikutan itu, sekolah mempunyai dua tujuan utama iaitu mensosialisasikan ataupun membudayakan individu dan juga bertindak sebagai alat ataupun mekanisme penting bagi membangunkan negara daripada sudut ekonomi, sosial dan juga politik negara. Sekolah diberi segala tanggungjawab oleh masyarakat bagi menyediakan pelajaran kepada semua kanak-kanak dalam sesebuah masyarakat.
· Oleh itu, sekolah perlu ada:
1. Ahlinya sendiri yang terdiri daripada guru besar selaku pentadbir sekolah, pelajar dan guru-guru serta kakitangan. Setiap ahli ini memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan suatu aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran dan pengajaran.
2. Hierarki serta jawatan tertentu dalam sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah. Umpamanya, pengetua yang bertindak sebagai pemimpin dan pengurus di sekolah.
3. Peraturan-peraturan dan undang-undang tertentu yang perlu dipatuhi termasuk budaya dan nilai-nilai normanya yang perlu dipatuhi oleh para ahlinya supaya dapat menjamin keharmonian dan ketenteraman sekolah.
4. Pentadbiran yang bersifat birokratik, bermatlamat, mempunyai organisasi pembelajaran dan mempunyai peranan.
5. Mempunyai struktur tugas dan sosial yang formal yang tersusun. Misalnya, guru besar tugasnya mentadbir sekolah dan pegawai bawahannya yang terdiri daripada guru-guru selaku tenaga pengajar dan kakitangan sekolah. Struktur tugas ini penting untuk mengelak pertindihan tugas dan sistem berat sebelah. Oleh kerana itu, semua komuniti sekolah mesti tahu akan tugas mereka masing-masing.
6. Ada standardisasi seperti buku teks, mata pelajaran, ujian dan peperiksaan dan lain-lain.
7. Budaya sekolah yang tersendiri yang diurus oleh guru besar yang berwibawa dan mempunyai kecekapan sebagai seorang pentadbir sekolah. Pembentukan budaya sekolah perlu juga mendapat kerjasama yang sepenuhnya termasuklah guru dan pelajar sendiri.
8. Ada persatuan dan semangat kekitaan serta jalinan hubungan sosial yang baik, matlamat tersendiri mengikut dasar kerajaan.
Peranan Sekolah:
1. Agen penapisan ke jurusan tertentu. Sekolah dibina untuk melahirkan masyarakat yang profesional dan maju mengikut bidang-bidang tertentu yang mereka sukai bergantung kepada kelayakkan pendidikan mereka. Selepas lulus tingkatan 5 atau 6, pelajar akan dialirkan ke kolej, universiti atau pusat latihan bergantung kelulusan yang diperolehi.
2. Tempat melatih murid untuk mendapatkan pelbagai kemahiran.
3. Membentuk sahsiah murid melalui pendidikan kerohanian.
4. Proses sosialisasi. Kanak-kanak sejak kecil lagi telah dikelilingi oleh agen-agen sosialisasi sepeti ibu bapa, pengasuh tadika dan lain-lain. Tetapi apabila kanak-kanak mula masuk sekolah, agen sosialisasinya semakin bertambah banyak.
5. Mengubah status dan sekali gus dapat memajukan masyarakat. Misalnya, apabila masyarakat luar bandar sudah berpeluang untuk belajar, kini mereka sudah dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat bandar.
6. Melatih murid menjadi pemimpin dan ahli politik agar menjadi seorang rakyat yang berguna kepada agama, keluarga, bangsa, dan negara.
Fungsi Sosialisasi Sekolah:
1. Ciri-ciri sekolah hari ini berhasil mengubah sikap murid. Teknik mengadakan perkumpulan yang sihat dan memupuk semangat kekitaan adalah teknik yang paling efektif untuk mengubah sikap murid.
2. Sekolah satu-satunya institusi sosial yang boleh mendedahkan model sosial yang baru atau ahli kumpulan terbaru.
3. Sekolah mempunyai struktur kuasa dalaman yang formal. Pengalaman sekolah berbeza dengan pengalaman bersama keluarga. Jadi sekolah merupakan agensi sosial yang ideal yang boleh melahirkan murid-murid yang mempunyai aktiviti sosial yang bersepadu dan persaingan tingkahlaku.
4. Sekolah yang relevan dengan subbudaya yang kekal akan dapat dihindari apabila pelajar saling dapat berkongsi dan bergaul dengan baik dan tidak memandang jantina, etnik dan latar belakang kelas sosial.
Peranan Pengetua:
· Pengetua berperanan sebagai pengurus bagi sesebuah sekolah. Pengurusan sekolah yang perlu dipikul oleh pengetua ada 3 bahagian iaitu:
1. Pengurusan manusia seperti menyelia guru, memastikan kualiti pengajaran guru baik, menyediakan pembangunan staff dan lain-lain.
2. Pengurusan aktiviti seperti merancang jadual waktu, jadual mesyuarat, melaksanakan keperluan sekolah, mewujudkan persatuan, menyediakan tempat sukan, memastikan keselamatan pelajar dan lain-lain.
3. Pengurusan sumber termasuklah mengurus sumber manusia dari segi keselamatan guru dan murid, sumber kewangan sekolah dan sumber bekalan sekolah seperti buku-buku teks, komputer dan lain-lain.
· Tugas pengetua juga meliputi bidang professionalnya seperti mengajar, menyelia atau mencatat buku rekod dan bukan bidang professionalnya seperti menguruskan kewangan sekolah, penjagaan sumber atau urusan surat menyurat.
Budaya Formal Sekolah:
· Pengertian budaya itu ialah kelakuan manusia berdasarkan kelompok-kelompok tertentu yang merangkumi dari aspek pemikiran, sikap, kepercayaan dan tindakan kebiasaan yang menggambarkan cara hidup mereka seharian. Misalnya budaya kehidupan orang-orang Melayu biasanya tidak membawa bayi-bayi keluar semasa waktu maghrib kerana ketika itu dipercayai ada syaitan yang ingin menganggu terhadap bayi-bayi yang kecil.
· Dalam konteks budaya sekolah, ada peraturan-peraturan tertentu bagi menentukan murid-murid mendapat pencapaian yang baik dalam bidang akademik dan memastikan murid-murid sentiasa berada di dalam sihat. Misalnya melarang murid-murid melakukan aktiviti sukan di tengah hari, mengarah murid supaya sentiasa bersedia menghadapi pelajaran dan juga menentukan makanan di kantin sentiasa bersih dan terkawal.
· Jenis budaya dalam konteks budaya sekolah ialah:
1. Budaya fungsional iaitu budaya atau aktiviti yang berfaedah atau cara hidup yang produktif. Misalnya aktiviti perkhemahan masa cuti sekolah untuk melahirkan murid-murid yang bekerjasama dan bertanggungjawab.
2. Budaya relatif iaitu peraturan yang boleh diubahsuai. Misalnya, peraturan disiplin, waktu mengajar, masa rehat dan sebagainya.
3. Budaya instrumental iaitu yang berorientasikan peperiksaan bagi mencapai matlamat sekolah dan dapat melahirkan murid yang berakhlak mulia.
4. Budaya ekspresif menumpukan kepada kegiatan kepuasan dan nilai-nilai efektif, kesenian, muzik dan kegiatan kreatif. Biasanya sebahagian kecil masyarakat tidak cintakan budaya ini kerana ia tidak memberi nilai-nilai ekonomi yang tinggi.
5. Budaya moral bermaksud menyatupadukan kumpulan menerusi perkongsian idea yang sama. Sekolah mengutamakan disiplin dan agama untuk menjadikan murid berdisiplin dan bermoral.
· Faktor yang mempengaruhi budaya sekolah:
1. Ugama.
2. Masyarakat matlamat sekolah.
3. Masyarakat matlamat negara.
4. Ras.
5. Komuniti setempat.
6. Status ekonomi sosial.
· Ciri-ciri budaya sosial:
1. Mengutamakan disiplin, pakaian seragam, moral dan ugama. Pelajar Islam wajib belajar ugama Islam. Mesti berpakaian kemas bagi menunjukkan identiti.
2. Ada waktu tertentu iaitu jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari.
3. Ada undang-undang sekolah, seperti had umur, peperiksaan tahunan, peraturan disiplin.
4. Ada aktiviti tertentu seperti kempen masa cuti sekolah, menyanyi lagu sekolah, sukan tahunan, sembahyang hajat sebelum memulakan peperiksaan.
5. Ada identiti tersendiri seperti ada logo sekolah, majalah sekolah, visi sekolah dan lain-lain.
6. Mempunyai struktur organisasi yang lengkap seperti guru sukan, guru kaunseling, PIBG dan lain-lain. Mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali setahun.
7. Mempunyai ciri-ciri keselematan seperti berpagar dan terletak di kawasan yang selamat.
8. Mempunyai kemudahan tempat membaca untuk mengembangkan budaya ilmu.
9. Mempunyai kemudahan fizikal yang lengkap seperti bilik darjah yang teratur, kantin, perpustakaan dan lain-lain.
· Budaya formal sekolah yang berkesan:
1. Aspek fizikal:
· Bangunan dan kawasan persekitaran yang bersih dan sekolah ada ciri-ciri keselamatan.
· Guru dan murid menggunakan kemudahan alatan mengikut masa-masa yang sesuai.
· Kemudahan bilik darjah, surau, bilik guru, tandas, makmal dan sebagainya.
· Pemandangan sekolah cantik dan murid rasa cinta kepada keindahan sekolah.
2. Aspek sosial:
· Hubungan mesra di antara guru, murid dan masyarakat.
· Tiada kejadian buruk disiplin di kalangan guru dan murid.
· Melayan tetamu yang datang dengan mesra.
· Menggalakkan penglibatan ibu bapa (PIBG).
· Mewujudkan masyarakat penyayang.
3. Aspek ilmu:
· Murid rajin belajar.
· Banyak tulisan mengenai ilmu.
· Semangat bertanding dalam pencapaian akademik.
· Perpustakaan yang ceria dan mencukupi bahan bacaan serta terdapat kemudahan pusat sumber.
4. Aspek pentadbiran:
· Guru besar cekap dan pandai mengurus.
· Mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang demokratik.
· Pengurusan kewangan yang teratur.
· Menyelaras tugas dan bijak dalam membuat keputusan.
· Mengawal mutu kerja.
· Membuat undang-undang yang tersendiri seperti larangan merokok, mengadakan peraturan keluar masuk pelajar, pembahagian kelas yang teratur dan lain-lain.
Definisi Kepimpinan, Pengurusan & Pentadbiran Pendidikan:
Secara umumnya ia hampir sama. Walau bagaimanapun terdapat sedikit perbezaan mengenainya, iaitu:
· Kepimpinan pendidikan ialah untuk mengawal, memimpin dan mengarah ahli-ahlinya.
· Pengurusan dalam pendidikan bererti proses merancang, mengelola, memimpin dan mengawal daya usaha ahli-ahli dan menggunakan sumber untuk mencapai matlamat. Menekan kepada input organisasi.
· Pentadbiran dalam pendidikan ialah untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.
· Keseluruhan proses perguruan dan pentadbiran sekolah adalah perancangan, pengelolaan, pengisian pekerja, pengarahan, penyelarasan, pelaporan, bajet dan pengawalan.
Warga Sekolah Dan Interaksi Antara Kelompok:
· Masyarakat sekolah mesti berinteraksi dengan pelbagai kelompok masyarakat. Ini bererti masyarakat sekolah itu sendiri tidak boleh berasingan dengan kelompok masyarakat. Masyarakat dapat memberikan sumbangan kepada sekolah seperti menjayakan berbagai-bagai aktiviti, membantu hal-hal kewangan, memberi nasihat dan lain-lain.
· Manusia pula fitrahnya dilahirkan dalam suatu kelompok. Kemudian membentuk kelompok yang baru melalui perkahwinan, penghijrahan, pekerjaan di tempat lain. Dalam masa yang sama, wujud juga kelompok sosial dalam masyarakat.
· Definisi kelompok sosial ialah sekumpulan manusia yang mempunyai suatu tujuan, matlamat dan perangai yang tertentu yang mewujudkan juga hubungan yang tertentu. Kelompok sosial dianggap penting untuk diketahui kerana ia berasaskan keperluan yang sama. Misalnya, apabila kita mengajar di sekolah pedalaman, kita mesti tahu akan kehendak masyarakat atau kelompok berkenaan agar memudahkan kita berinteraksi dengan mereka. Ini bererti apabila kita saling berinteraksi dengan cara yang tertentu akan membuatkan mereka merasa diri mereka dimiliki oleh kelompok sosial yang lain.
Jenis-Jenis Kelompok:
1. Kelompok asas seperti rakan-rakan di sekolah yang saling memberi sokongan dan adanya perasaan kekitaan. Pengalaman dapat kongsi bersama dan hubungan mungkin secara tidak formal. Kelompok asas biasanya:
· Saiz kecil. Terdiri daripada ahli yang bilangannya kecil agar dapat faham antara satu dengan yang lain.
· Interaksi bersemuka. Kerap berjumpa dan bersemuka. Guru selalu berjumpa dengan guru lain semasa melalui ruangan kaki lima. Bagaimanapun, mungkin perjumpaan tidak memberi makna apa-apa, kalau tidak bercakap dan berbincang.
· Tempoh interaksi. Jika kerap berjumpa, perhubungan akan tambah erat. Sebab itulah murid-murid tidak mahu pindah sekolah lain jika ayahnya bertukar kerja di tempat lain.
2. Kelompok sekunder iaitu perhubungan yang kurang mesra dan tidak kenal di antara satu murid dengan murid yang lain. Kelompok asas sebenarnya terbentuk dari kelompok sekunder yang mana dua pelajar yang tidak dikenali akan menjadi kelompok asas apabila mereka:
· Membuat kerja projek yang sama.
· Memasuki persatuan yang sama.
· Pergi sekolah naik bas bersama.
3. Kelompok dalam dan kelompok luar. Misalnya, pelajar yang mengikuti persatuan bulan sabit mungkin kurang atau tidak mesra dengan pelajar pandu puteri. Oleh yang demikian, guru asrama mesti faham akan pergaulan pelajar.
4. Kelompok sebaya iaitu kelompok yang tidak formal tetapi mempunyai banyak persamaan seperti peringkat remaja, sama umur, sama ugama, ambil kursus yang sama. Kelompok sebaya banyak berlaku semasa usia remaja.
Interaksi Dalam Bilik Darjah:
· Guru mesti melaksanakan hubungan atau interaksi dalam bilik darjah melalui pengajaran dan kerja projek. Faktor yang mempengaruhi interaksi ialah:
1. Pembentukan susun atur meja di tempat pembelajaran murid-murid. Pada masa dahulu, kerusi meja disusun secara berbaris. Tetapi sekarang, susunan Horse shoe (murid mengelilingi guru) dan Modular (beberapa orang murid dalam kumpulan mengelilingi guru) adalah susunan yang dianggap baik.
2. Emosi atau iklim dalam bilik darjah juga mesti dalam kondisi yang baik.
3. Kawalan yang sempurna di mana guru berkebolehan dalam menguruskan pembentukan kawalan sosial.
4. Penggunaan kaedah kumpulan dan murid-murid mendapat faedah dan bimbingan daripada rakan-rakan yang lebih pandai dan bertanggungjawab.
5. Penggunaan pelbagai kaedah pengajaran serta disokong dengan alat bantu mengajar yang sesuai dengan objektif pengajaran.
6. Ada masa-masa tertentu guru memberi kebebasan kepada murid-murid untuk membuat kerja atau latihan harian.
7. Guru tidak jemu dan bosan untuk membimbing pelajar yang bermasalah.
· Tugas guru selain mengajar dan mengawal kelas dengan baik, juga memberi perhatian kepada murid-murid yang ada masalah sosial seperti tiada kawan, lari daripada kumpulan, berkelahi, gangguan rakan sebaya dan lain-lain.
Pandangan Teori Interaksionisme Mengenai Interaksi Bilik Darjah:
· Tingkahlaku sosial ada sebab dan akibat berlakunya. Menurut kajian teori ini, interaksi dalam pendidikan ada hubungkaitnya dengan makna-makna hasil hubungan guru dan murid. Setiap tingkah laku murid ada maknanya. Misalnya, apabila guru menyoal, murid mungkin mengangkat tangan untuk menjawab. Dalam hal sedemikian, guru perlu menginterpretasi akan makna angkat tangan tersebut sama ada murid ingin menjawab soalan, tidak faham atau ingin mengelak diri dari dianggap tidak pandai.
· Para interaksionis melihat perhubungan guru dan murid sebagai suatu situasi konflik kerana guru dan murid masing-masing mempunyai matlamat yang berbeza.
· Guru dan murid perlu berkongsi interpretasi dan pemahaman dan ini boleh diperolehi melalui proses rundingan tentang makna-makna yang bakal dipersetujui dan harus berterusan sekalipun guru selalunya mempunyai kuasa yang lebih.
Interaksi Bilik Darjah Menurut David Hargreaves:
· Hubungan interaksi di antara guru dan murid adalah tertakluk kepad makna, persepsi, dan jangkaan tersendiri. Guru dan murid mempunyai jangkaan yang berbeza.
· Guru mempunyai kuasa memberikan definisi mereka terhadap situasi dalam bilik darjah. Guru berkuasa untuk menentukan dan memaksakan murid-murid supaya menerima definisi situasi yang mereka tetapkan tetapi mesti selaras dengan konsep peranan guru dalam bilik darjah. Oleh itu, Hargreaves mencadangkan 3 alternatif jenis-jenis konsep diri yang ada pada guru iaitu:
1. Si ‘penjinak singa’, ertinya guru menganggap murid tidak mahu belajar. Jadi guru kena tegas dengan mengenakan disiplin yang ketat.
2. Si ‘penghibur’, ertinya guru tidak percaya yang murid-murid benar-benar mahu belajar. Jadi beri perangsang dengan mendedahkan bahan-bahan yang menarik minat belajar. Dalam hal ini, guru harus sentiasa memeriksa tugasan murid.
3. Si ‘romantik’, ertinya guru melihat murid berminat untuk belajar. Murid dianggap bersikap positif dan guru sebagai fasilitator perlu memberi kebebasan kepada murid untuk memilih apa yang mereka mahu pelajari. strategi guru adalah mendidik murid belajar bagaimana belajar.
· Guru juga berperanan sebagai pengamal disiplin termasuklah menyelaraskan aktiviti dalam bilik darjah, membahagikan kumpulan murid, mengawasi aktiviti dalam bilik darjah.
· Hargreaves merumuskan:
1. Kebanyakkan murid suka sekolah dan dapat menerima definisi-definisi situasi guru untuk mereka. Oleh itu, guru mestilah menggembirakan dan memahami hati murid agar murid dapat menggembirakan guru mereka. Misalnya, dengan memberikan jawapan yang betul kepada soalan-soalan guru sekalipun sebenarnya mereka mungkin tidak faham. Namun ada juga murid yang langsung tidak ambil peduli kepada guru mereka.
2. Kalau definisi situasi guru dan murid selaras, maka persetujuan akan wujud dan guru pun senang. Tetapi jika tidak sama, akan berlakulah perselisihan faham.
3. Sesetengah murid hanya menunjukkan persetujuan palsu, sebab murid mempunyai sedikit kuasa yang membolehkan mereka menentang definisi situasi yang tidak selaras dengan kehendak mereka. Oleh itu, perlu ada perundingan di antara guru dan murid agar dapat menghormati kehendak pihak masing-masing. Rundingan adalah suatu proses yang berterusan.
4. Guru dan murid juga mempunyai pelbagai strategi sendiri untuk cuba mencapai definisi tersendiri. Contoh teknik guru, memberi amaran, merujuk kepada guru besar dan sebagainya. Contoh teknik murid, merujuk kepada keadilan, merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti seperti ibu bapa dan sebagainya.
· Bagi aliran sosiologi pendidikan baru dan radikal (England), perlu memahami pandangan commonsense untuk mengenali realiti iaitu bagaimana kita melihat alam sekeliling dan bertindak balas kepadanya. Aliran ini mengutamakan kandungan pendidikan daripada struktur sistem pendidikan.
· Kini, ahli sosiologis ingin menggabungkan perspektif makro dan mikro dalam menganalisis pendidikan. Ini menunjukkan dinamika ilmu sosiologi di mana teori-teori sentiasa mencari kebenaran sosial sebagaimana dinamiknya masyarakat manusia itu sendiri.
Peranan Guru Dalam Bilik Darjah:
· Dahulu guru suka menggunakan kaedah yang sama (stereotaip) iaitu kaedah bercakap, menerang, menjelas dan membuat latihan. Sekarang, ada guru menggunakan masih kaedah yang sama, ada juga yang membuat perbezaan dan ada pula yang kembali kepada kaedah yang asal.
Bilik darjah yang dahulu
Bilik darjah yang sepatutnya
Kerusi meja teratur
Kerusi meja disusun untuk kerja kumpulan
Gambar tetap
Gambar bertukar-tukar
Murid mendengar, bercakap apabila disuruh
Murid banyak diberi peluang bercakap & bergerak
Bagaimana hendak mengajar
Bagaimana cara guru bantu murid belajar
Jadual waktu tetap
Boleh diubah/anjal
Kurang alat mengajar
Pelbagai alat bantu
Apa Pengajaran Yang Baik?
· Boleh membantu murid-murid berfikir dengan cergas,
· Murid ada daya utama kerja,
· Suka ambil tahu agar dapat jawapan yang tepat,
· Membanyakkan aktiviti untuk membantu lagi pemahaman dan juga boleh menambahkan pengalaman,
· Dapat mengawal kemajuan pelajaran dan kegiatan murid,
· Dapat mengawal disiplin murid,
· Berkemahiran dalam menyebarkan pengetahuan dan ilmu.
Mengapa Kanak-Kanak Datang Ke Sekolah?
· Hendak belajar hidup bermasyarakat yang boleh dibentuk melalui kumpulan, rakan sebaya, bermain, proses sosialisasi, membuat kerja, bekerjasama dan sebagainya.
· Pendidikan merupakan asas pelengkap diri sesuai dengan kebolehan yang dimiliki yang perlu dipupuk seperti kebolehan bercakap, membaca, bertukar fikiran, menghurai, amanah dan berani.
· Ingin hidup gembira. Bilik darjah merupakan tempat untuk belajar mesti dalam suasana yang menggembirakan seperti memberi peluang murid-murid untuk bertanya, bermain, membaca, mendengar, berkawan dan sebagainya.
· Sebagai persediaan ke peringkat pendidikan tinggi yang menjanjikan masa hadapan yang cerah.
· Dipaksa oleh ibu bapa.
· Sebagai undang-undang negara.
3. BIROKRASI DALAM PENDIDIKAN
Definis Birokrasi:
· Dalam aspek sosiologi pendidikan, amalan birokrasi tidak boleh dielakkan. Lebih-lebih sekolah merupakan unit sosial.
· Perkataan birokrasi berasal daripada dua perkataan iaitu biro yang merujuk akan maksud pejabat iaitu tempat bekerja dan kratia atau kratos yang bermaksud kuasa atau pemerintahan. Pada dasarnya, birokrasi bermaksud kuasa pejabat atau pemerintah pejabat iaitu pemerintahan golongan pegawai.
· Menurut buku Kamus Dewan, birokrasi adalah sistem pemerintahan atau pentadbiran yang dikendalikan atau dijalankan oleh pegawai-pegawai kerajaan.
· Birokrasi dalam konsep sosiologi dan sains politik pula merujuk kepada cara bagaimana pentadbiran melaksanakan dan menguatkuasakan peraturan-peraturan yang sah secara sosial. Pengurusan ini disifatkan dengan tatacara piawai, pembahagian tanggungjawab yang formal, hierarki dan hubungan tidak peribadi.
· Jika kita menelusuri pernyataan Weber bahawa sekolah adalah merupakan suatu institusi sosial yang bersifat formal moden yang mana terdapat wujudnya peraturan, prosedur, carta, organisasi, manual organisasi, deskripsi tugas, memorandum, minit, fail, jawatankuasa, status jawatan, diari dan lain-lain yang banyak melibatkan murid dan juga guru, lebih-lebih lagi keadaan bilangan kadar murid yang kian bertambah dari tahun ke setahun.
Adapun di antara sifat-sifat yang menjadikan sekolah itu sebagai sebuah organisasi yang bersifat formal ialah:
1. Ada undang-undang atau dasar yang jelas iaitu ada peraturan yang ditetapkan yang wajib ditaati. Misalnya, peraturan sekolah yang tidak membolehkan murid-murid lelaki berambut panjang atau guru-guru tidak dibenarkan keluar sewaktu bertugas tanpa ada alasan-alasan yang munasabah.
2. Ada peranan setiap hierarki iaitu masing-masing mempunyai peranan-peranan yang tertentu. Misalnya, peranan guru besar ialah mentadbir dan mengurus sekolah secara bersistem dan berkesan.
3. Ada Jumaah Lembaga Sekolah iaitu ada persatuan atau ahli jawatankuasa bagi sesebuah sekolah. Misalnya, persatuan ibubapa dan guru-guru (PIBG).
4. Setiap jawatan ada kelayakkan tertentu termasuklah di sekolah. Kelayakkan seorang pegawai ditentukan supaya ia dapat digantikan bila-bila masa tanpa mengganggukan organisasi itu dijalankan dengan lancar. Misalnya, untuk menjadi seorang guru mestilah ada kelayakkannya iaitu lulus sijil latihan perguruan.
5. Sekolah mempunyai anggota yang tetap termasuk guru dan murid. Dalam hal pelbagai kaum, pemupukkannya adalah perlu bagi mewujudkan sekolah yang berwawasan atau sekolah integrasi.
· Berdasarkan hal sedemikian, pengetua atau guru besar harus mempunyai perhubungan yang baik dengan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan, para penjaga, masyarakat setempat, pihak polis dan sebagainya. Di samping itu juga adalah penting bagi guru-guru yang di bawah kawalannya dapat memainkan peranan mereka masing-masing. Oleh itu, seorang pengetua atau guru besar harus memiliki ciri-ciri interaksi sosial seorang pemimpin agar mampu memimpin organisasi sekolah yang ditadbirnya.
· Aspek tersebut sesuai dengan konsep birokrasi mengikut Max Weber, iaitu:
1. Kesetiaan pada organisasi atau peraturan dan bukan pada kakitangan.
2. Badan hierarki berkuasa. Ertinya orang yang mempunyai jawatan yang tinggi yang mempunyai autoriti menyelia yang rendah sementara orang yang berjawatan rendah menerima arahan sahaja.
3. Ada undang-undang yang jelas dan peraturan yang perlu dipatuhi. Undang-undang mesti ada tertulis hitam putihnya.
4. Pembahagian tugas yang ditetapkan. Tugas adalah rasmi. Setiap unit ada tanggungjawab. Kerja adalah berdasarkan pengkhususan.
5. Interaksi antara ahli tidak bersifat peribadi.
6. Pengambilan pekerja berdasarkan kelayakan tertentu.
7. Terdapat pejabat awam yang menyimpan pelbagai fail.
8. Bekerja sepenuh masa dan memberi tumpuan kepada perjalanan organisasi.
9. Pemusatan kuasa. Kuasa yang dimaksudkan merujuk kepada ketua yang membuat keputusan berdasarkan input saranan daripada orang bawahan.
10. Tidak mengamalkan pilih kasih.
11. Tingkat pengkhususan yang tinggi.
12. Aktiviti yang terancang.
Kelebihan Sistem Birokrasi:
· Dari sudut pembahagian tugas, ianya nampak lebih terancang dan terarah kerana kesan dari pembahagian tugas ini dapat memberi impak yang lebih ketara dan menyerlah yang mana para guru telah diagihkan tugas-tugas mereka mengikut bidang kepakaran mereka serta mampu menjamin ketepatan masa.
· Dari sudut kepimpinan, ianya mampu menanamkan rasa hormat pada seorang ketua di samping memperjelaskan siapakah yang patut dalam memberikan perintah dan arahan dalam membuat sesuatu tindakan serta melatih seseorang itu agar lebih berwibawa.
· Dari sudut pencapaian tugas pula, para guru mampu membuat jangkaan tentang apa yang mereka hendak capai berlandaskan undang-undang serta peraturan yang disediakan sehingga ianya menjadi keseragaman dalam pencapaian bagi setiap guru ke atas murid-murid mereka.
· Dalam pembahagian tugas pula, tidak berlaku istilah ‘pilih kasih’ kerana setiap pembahagian pekerjaan adalah berlandaskan kelulusan akademik yang pekerja itu telah capai. Dengan adanya pembahagian tugas ini juga akan dapat mengelakkan sistem yang berat sebelah kerana setiap orang telah ditetapkan tugas mereka masing-masing serta mampu mengelakkan daripada seorang pengetua atau guru besar itu bersifat memberi perhatian yang lebih kepada seseorang guru manakala mengabaikan yang lain.
· Mampu meningkatkan kepakaran dan kerajinan di kalangan pekerja.
· Jika sekiranya berlaku sebarang permasalahan, mereka boleh merujuk kepada peraturan yang sedia ada.
· Dengan adanya semua ini, akan lebih melicinkan lagi jentera pentadbiran kerana setiap pekerja sudah memahami tugas atau peranan masing-masing.
· Mempermudahkan guru dan murid bertukar sekolah kerana sistem pentadbiran adalah hampir serupa sahaja.
Kelemahan Sistem Birokrasi:
1. Dalam pembahagian kerja, guru berkenaan tidak akan mampu melihat masalah-masalah yang terdapat dalam tugas harian mereka serta bersifat tidak acuh tentang tugas rakan yang lain kerana berpendapat ianya menjadi tugas guru berkenaan di samping tidak berani untuk mencampuri bidang kuasa orang lain.
2. Dari sudut kewibawaan pula, dalam sistem hieraraki, guru tidak terlibat banyak dalam membuat sebarang keputusan bahkan mereka akan lebih bersifat berselindung dengan kesilapan yang mereka temui serta mereka tidak berani membuat sebarang keputusan sendiri.
3. Usaha menekankan peraturan dan undang-undang juga boleh membantutkan inisiatif dan imaginasi kerana guru akan terlalu terikat dan berpegang dengan garis panduan dari apa yang telah diperundangkan. Dalam erti kata yang lain, ia boleh mengalihkan matlamat seseorang guru kerana terpaksa akur dalam menuruti apa yang ada dalam peraturan dan undang-undang.
4. Seterusnya, hubungan dua hala di antara guru dengan murid juga menjadi tegang kerana kurang wujudnya kemesraan sewaktu proses pembelajaran dijalankan.
5. Dalam hal ini, guru akan terasa diasingkan dan ini boleh mengakibatkannya membuat apa yang patut dikerjakan sahaja kerana segala lebihan tugas dan pencapaiannya tidak akan memberikan kelebihan kepada dirinya kerana semua pekerja adalah dianggap sama.
6. Dalam pembahagian jawatan pula, guru akan ditempatkan ke jawatan yang dipegangnya dengan berlandaskan tahap pencapaian akademiknya atau berdasarkan kelulusan semata-mata tanpa dinilai prestasi dan pengalamannya dalam menjawat jawatan berkenaan kerana itulah tahap kompeten mereka semakin menurun memandangkan kekurangan pengalaman dan kebolehan mereka dalam menjawatnya. Di samping itu juga, tahap kesungguhan mereka menjalankan tugas juga tidak diambil kira. Sebagai contohnya, jika mereka telah diberikan gaji sebanyak seribu sebulan, maka itulah saja yang mereka akan dapat sekalipun mereka telah menampakkan prestasi yang membanggakan.
7. Dalam sesuatu keadaan yang tertentu, ianya boleh menyebabkan guru-guru lebih senang merujuk atau berbincang sesama mereka daripada terus merujuk kepada guru kanan atau guru besar (pengetua).
8. Peluang untuk naik pangkat mengikut hierarki adalah lambat atau terbatas. Ini jelas ketara bilamana kakitangan terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya untuk memohon ke sesuatu jawatan atau pangkat yang lebih tinggi sekalipun pada dasarnya mereka telah banyak menunjukkan sumbangan yang cukup bermakna kepada organisasi mereka.
9. Kadang-kadang boleh menimbulkan konflik di kalangan pekerja dan inilah yang sangat menyedihkan sekali.
· Secara keseluruhannya, pentadbiran birokrasi ini lebih bersifat hierarki iaitu ada ketua yang akan memantau perjalanan setiap orang yang di bawah pentadbirannya dan begitu juga sebaliknya iaitu orang bawahan akan melakukan apa yang telah diarahkan oleh ketua atasan mereka.
· Kemudian dari segi berkomunikasi pula, ianya lebih bersifat satu hala sahaja, yang mana orang bawahan tidak begitu diberi kebebasan dalam memberikan pendapat mereka. Manakala dari segi pemberian arahan dan peraturan, ianya agak formal yang mana segalanya dilakukan secara bertulis bukan sekadar diucapkan semata-mata sahaja. Sementara dalam hal penjadualan dan penyeliaan, ianya lebih teratur dan terancang kerana adanya skop pencapaian yang hendak dikecapi oleh setiap yang menjadi ketua dan yang menjadi pengikutnya.
Jenis Birokrasi:
1. Organisasi Paksaan iaitu ketua menggunakan kekerasan dalam menjalankan sistem pemerintahannya. Biasanya dilaksanakan di jabatan Penjara, Hospital Psikiatri, Kem Tawanan.
2. Organisasi Normatif iaitu berdasarkan pujukan moral. Ketua tidak menggunakan kekerasan, hanya bersifat tegas. Ahli-ahli kena setia dan turut memberi sokongan kerana ketua bertindak adalah semata-mata mengharapkan pencapaian akademik yang cemerlang. Misalnya di Universiti, sekolah, maktab.
3. Organisasi Utiliter iaitu yang berdasarkan kepada motivasi seperti membayar upah, memberi bonus, ganjaran atau komisen semata-mata untuk memajukan organisasi. Contoh sekolah swasta, industri.
Kesimpulan:
Dari apa yang telah kita lihat melalui pengertian dan kelebihan serta kelemahan yang terdapat dalam pelaksanaan sistem birokrasi ini di dalam sesebuah organisasi, seperti di sekolah yang kita perkatakan sekarang ini, ianya memang banyak memberi manfaat ke arah mempastikan perkembangan dan kemajuan sesebuah sekolah berkenaan. Ini kerana dengan adanya sistem ini, dapat menjadikan sesebuah sekolah itu lebih bersifat formal dan bersistem yang dapat diikuti oleh semua pihak demi mencapai sesuatu matlamat atau tujuan yang telah diketahui sebelumnya. Apa yang penting sekarang ini adalah bagaimana ianya diterapkan sahaja dan cara penerimaan orang yang menjalankannya demi memperoleh segala apa yang diharapkan.
Dari itu, sekalipun dalam sesebuah sistem itu memang ada mempunyai kelebihan dan kelemahannya, namun ianya harus diimbangi secara wajar iaitu dengan memandang kepada kelebihan-kelebihan yang ada dengan lebih serius lagi di samping cuba tidak mengenepikan kelemahan-kelemahannya sebagai benteng ke arah pencapaian matlamat yang maksimum. Sebagai contoh saja, jika seorang guru itu telah diberikan gaji yang telah ditetapkan, katakanlah seribu ringgit sebulan, tetapi ia adalah seorang yang rajin dan gigih serta amanah dalam menunaikan tanggungjawabnya kepada sekolah, maka pihak sekolah haruslah memberikan beberapa insentif kepadanya sebagai contoh jika ia bekerja di luar waktu sekolah, maka sepatutnya guru ini diberikan ganjaran seperti dibayar sesuai dengan apa yang dikerjakannya demi kepentingan sekolah atau diberikan penghargaan dengan dinaikkan pangkat lebih cepat atau menerima kelebihan dalam banyak hal dan sebagainya yang mana dengan semua ini, kita percaya guru berkenaan akan merasa lebih dihargai dan dipeduli serta merasa berbaloi dengan apa yang telah dikorbankannya demi kepuasan pihak dirinya khususnya dan kepada pihak sekolah (organisasi) umumnya.
Apa yang hendak ditekankan di sini ialah bahawa setiap kelemahan dalam sistem birokrasi itu jangan dijadikan sebagai satu alasan untuk ianya tidak boleh diterapkan di dalam sistem pentadbiran sekolah bahkan ianya perlu dilihat dari segi kelebihannya dengan mengambil kira dalam semua bidang. Seterusnya, apa yang kita boleh nampak pada ketika ini juga, memang dikebanyakkan tempat, sistem ini banyak diterapkan dan ini menandakan ianya amat berkesan dalam memantau keberkesanan serta kelancaran perjalanan sesuatu organisasi dalam mempastikan matlamat dapat dicapai dengan jayanya. Bahkan dalam agama Islam pun memang menyarankan agar kita melantik seorang ketua dalam membuat sebarang keputusan dalam sesebuah kelompok agar tidak berlaku kekacauan dan penyelewengan kuasa dan sebagainya bahkan juga turut bertanggungjawab terhadap orang bawahannya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Setiap kamu (pemimpin) adalah penggembala dan bertanggungjawab terhadap gembalanya”
Dari itu, jika diperhatikan kembali segala kelebihan yang terdapat dalam sistem ini, memang ianya dapat membantu dalam banyak hal di dalam pentadbiran sekolah bahkan ianya mampu membentuk suasana yang lebih harmoni dan ceria dengan syarat semua ahli dalam organisasi sekolah itu memahami peranan mereka masing-masing serta menanamkan perasaan bahawa semua apa yang dikerjakan itu adalah ibadah kepada Allah Subhanahu Wataala dan kepadaNyalah diserahkan segalanya untuk mendapat ganjaran yang setimpal dari apa yang telah dilakukan. Yang demikian juga akan mewujudkan perasaan ikhlas dan amanah dalam menjalankan tugas bermula daripada atasannya, iaitu pengetua atau guru besar sehinggalah kepada yang di peringkat bawahan seperti buruhnya, yang mana dengan adanya semua ini, maka akan terbinalah sebuah organisasi yang diberkati dan sejahtera daripada sebarang kelemahan yang telah dinyatakan sebentar tadi.
Pendeknya, bagi mempastikan sistem birokrasi ini dapat dilaksanakan dengan penuh jayanya dan mampu memberi kepuasan kepada semua ahlinya, maka setiap ahlinya perlu menanamkan sikap qanaah iaitu berpada atau bersyukur dengan apa yang ada tanpa mengharap apa yang lebih di samping berusaha mencari perubahan dengan jalan yang direstui oleh agama.
Kuasa, Pengaruh Dan Kewibawaan Pengetua/Guru Besar:
Kuasa dan kewibawaan hampir sama maksudnya. Kekuasaan tidak mutlak kecuali ada pengaruh yang kuat. Dalam Islam pemimpin bukan semestinya menunjukkan kuasa. Memiliki kuasa bukan bererti memiliki suatu keistimewaan. Kuasa sebenarnya adalah anugerah dariapada Allah Subhanahu Wataala sebagai amanah yang penting dilaksanakan.
Di sekolah, pengetua mempunyai kuasa untuk mengurus dan mentadbir sekolah. Ia menjadi pandangan kepada masyarakat sekeliling. Pengetua secara khusus akan bertanggungjawab memimpin guru-guru, kakitangan am dan para pelajarnya. Tugas-tugas pengetua ini akan dibantu pula oleh penolong guru besar, guru kanan, guru disiplin, guru kesejahteraan dan guru-guru dalam setiap bidang mereka masing-masing bagi menjalankan sesuatu tugas dengan lebih effisien agar sesebuah sekolah dapat dipimpin dengan lebih berkesan.
Dalam hal sedemikian, seorang pengetua harus tahu bagaimana cara mempengaruhi guru-guru agar bekerja dengan kuat dan rajin serta dapat memberikan kerjasama dan keyakinan kepada sekolah. Sekolah yang berjaya itu adalah bergantung kepada pengurusan dan pentadbiran pengetua yang pandai memberi keyakinan kepada guru-gurunya.
Definisi kuasa:
Dalam buku Kamus Dewan, kuasa bererti daya atau kemampuan untuk melakukan atau menghasilkan sesuatu.
Kuasa juga merujuk akan kecekapan seseorang dalam proses membuat keputusan. Dengan kuasa juga dapat mengawal tingkahlaku seseorang. Di sekolah, orang yang mempunyai kuasa dalam membuat sebarang keputusan ialah pengetua berdasarkan input saranan daripada orang bawahan. Oleh itu, seorang pemimpin mesti punya potensi dalam menggunakan kuasanya dan berkemampuan untuk mengambil sebarang tindakan sama ada secara halus atau kasar. Tetapi, kuasa tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Oleh sebab itu, orang yang gila kuasa biasanya tidak kekal lama pemerintahannya atau menghadapi kesulitan.
Definisi Pengaruh:
Pengaruh menurut buku Kamus Dewan, bererti kekuatan batin yang meninggalkan kesan pada orang lain. Pengaruh juga merujuk kepada sejenis kuasa yang boleh mengubah sikap seseorang. Misalnya, pengetua berkuasa mengubah sikap guru dan masyarakat luar bandar agar anak-anak jadi pandai. Inilah yang dikatakan pengaruh yang dimiliki oleh seorang pengetua yang memegang kuasa mutlak.
Pengaruh dapat mengubah tingkahlaku seseorang, kelompok dan masyarakat dengan cara:
· Cadangan.
· Pujukan.
· Penghargaan.
· Paksaan.
· Pengaruh yang sah melalui orang yang tertentu. Kalau guru biasa buat surat, guru-guru lain tidak percaya.
· Pengaruh rujukan.
· Kepakaran. Guru akan percaya jika pengetua ada kepakaran tertentu.
Kewibawaan Atau Autoriti:
Kewibawaan bererti kekuasaan yang membolehkan seseorang menguasai atau mengarah orang lain atau menerbitkan pengaruh yang kuat. Ciri-ciri kewibawaan itu ialah:
· Terbatas dan diberikan kepada orang tertentu.
· Ia berdasarkan jawatan.
· Kewibawaan lebih daripada kuasa.
· Kewibawaan ialah kuasa yang sah.
· Kewibawaan juga hak memberi perintah.
· Kewibawaan di mana seorang pentadbir berjaya menjalankan kebijaksanaannya untuk mewujudkan suasana yang baik kepada pekerja.
Menurut Max Weber, ada 3 jenis autoriti/kewibawaan:
1. Autoriti berkarisma:
Kualiti (daya kepimpinan) atau sifat-sifat tertentu seorang pemimpin yang menjadikannya berupaya mempengaruhi orang ramai.
2. Autoriti tradisional:
Setakat rasa hormat dan menurut peraturan saja. Contoh peraturan sekolah, kalau pengetua suruh hadir waktu petang (kokurikulum) kita mesti hadiri.
3. Autoriti legal:
Peraturan yang sah yang dibuat oleh sekolah atau kementerian. Contoh membuang pelajar disebabkan kes dadah.
Lain-Lain Penjelasan:
1. Autoriti Formal:
Peraturan yang perlu dipatuhi. Misalnya, anda perlu mengajar sebelum habis perjanjian selama 5 tahun.
2. Autoriti Functional:
Perhubungan dengan orang lain. Semakin rapat hubungan dengan orang bawahan, menunjukkan semakin menonjol kewibawaan pemimpin.
Rumusan: Apabila seseorang diberi kuasa, bererti ia mempunyai autoriti yang sah tidak kira dengan siapa ia berhadapan sama ada orang yang berpangkat tinggi maupun yang rendah. Misalnya, seorang parking attendance (pangkat rendah) boleh menyaman doktor (pangkat tinggi) yang tidak meletak kenderaan dengan betul di jalan raya. Semuanya ini tidak diambil kira dari segi jawatan tetapi diambil kira dari sudut autoritinya.
Untuk mewujudkan keberkesanan pengurusan dan hubungan sosial di sekolah, guru, murid dan masyarakat mesti:
· Patuh kepada pengetua.
· Faham kehendak pemimpin.
· Faham wawasan/matlamat sekolah.
· Dalam masa yang sama, pengetua mesti faham gelagat guru-guru.
Perintah Am/Prosedur:
Di sekolah ada peraturan tertentu atau perintah am ataupun disebut ‘general order’. Ia merangkumi:
1. Peraturan kerja:
Seperti waktu kerja, cuti umum, sijil cuti sakit, datang lewat, tidak datang kerja, kehadiran masa cuti dan lain-lain, jumlah masa mengajar, penahanan kerja (akibat salah laku), gaji berjalan atau tidak.
2. Tuntutan kewangan:
Misalnya, menghadiri seminar dalam dan luar negara yang memerlukan peruntukkan kewangan, mengiringi pelajar ke luar negara, jangka masa tuntutan (1-2 bulan), resit rasmi, tuntutan pertukaran kerja dan lain-lain.
3. Perjawatan:
Pengambil pekerja, proses kenaikan pangkat, penggunaan borang tertentu, jenis pekerja (tetap, kontrak, gaji hari, penggunaan pekerja swasta).
Kesimpulan: pengetua, guru, masyarakat perlu tahu kesemuanya ini.
Kepimpinan Dan Peranan Pengetua:
Kempimpinan pengetua itu ialah selaku pengurus pentadbiran sekolah dan sebagai pemimpin pengajaran. Kedua-dua sama penting dan tidak boleh diasingkan. Tetapi memimpin pengajaran perlu diutamakan daripada mengurus pentadbiran.
Tugas guru besar atau pengetua ialah:
· Memastikan aktiviti berjalan dengan baik.
· Merancang, mengawal, memantau dan mengurus sumber manusia. Misalnya, menguruskan grade gaji guru atau elaun guru.
· Sediakan kemudahan prasarana dan budjet. Budjet keluar setahun sekali. Ertinya, mana-mana yang kurang atau memerlukan gantian, buat kiraan terlebih dahulu.
· Mengurus pembangunan fizikal. Pengetua perlu jua menyemak segala peralatan di sekolah seperti bilik makmal, komputer, barang-barang sukan dan lain-lain sekurang-kurangnya sebulan sekali.
· Menyimpan rekod pelajar, menjaga keselamatan dan kebajikan komuniti sekolah. Segala surat-menyurat hendaklah disimpan baik-baik. Buat dua salinan iaitu satu untuk individu dan satu lagi untuk sekolah seperti sijil-sijil murid untuk kepentingan murid apabila hendak bekerja.
· memastikan urusan rutin seharian berjalan dengan baik. Jika ada masalah, selesaikan dengan segera. Misalnya, ada sebahagian murid tidak masuk kelas. Pengetua hendaklah mengambil suatu tindakan yang sewajarnya.
Menurut Hussein Mahmod (1993) stail kepimpinan ada 2 bahagian, iaitu:
1. Dimensi Preskriptif-Normatif,
2. Dimensi Deskriptis-empiris. Kedua-dua sama penting.
Dimensi Preskriptif-Normatif (DPN – yang dijangkakan):
· Peranan yang dijangkakan sepatutnya dilakukan semasa mengurus. Maksudnya ikut masa yang sudah ditetapkan seperti kuliah di KUPU SB jam 8 pagi, rehat jam 10 pagi, makan jam 12 tengahari untuk penuntut asrama, jam 2 petang sambong kuliah dan jam 4 petang kuliah berakhir.
· Semua guru ada tugasnya berdasarkan tugas yang ditetapkan oleh kementerian.
· Berperanan sebagai pentadbir, pengurus perubahan dan penghubung dengan masyarakat, unit dan murid. Jangan ada jurang perbezaan. Semua yang berkaitan dengan sekolah kena diselesaikan.
· Berperanan sebagai penjaga. Bukan saja setakat mendidik, tetapi juga menjaga nilai etika dan keselamatan warga sekolah. Takdir memang Allah yang menentukan. Tapi untuk kepentingan orang bawahan, guru besar bertanggungjawab menyediakan bentuk keselamatan seperti menyediakan alat-alat kecemasan untuk kebakaran dan perubatan, menyediakan insuran Skim Takaful Kemalangan Diri atau Berkelompok dan lain-lain.
· Berperanan sebagai pemimpin dan pemupuk kerjasama.
· Mempunyai ciri-ciri kepimpinan seperti berkeyakinan, tekal, ada matlamat dan sebagainya.
· Menurut Sergiovanni, stail kepimpinan boleh jua dimasukkan teknikal, kemanusiaan, pendidikan simbolik dan budaya.
1. Pemimpin teknikal iaitu yang berkaitan dengan urusan teknikal seperti merancang, mengarah, mengawal, menyelia perakaunan, mengurus sumber, melaksanakan kaedah dan kepakaran pelbagai bidang, meningkat kefahaman dan pengalaman, mengamalkan tugas (professional dan bukan professional).
2. Pemimpin kemanusiaan iaitu yang berkaitan dengan komunikasi kemanusiaan seperti membimbing, memberi motivasi, membuat rundingan, menasihat dan mengarah ahli-ahli. Pemimpin mesti mahir berkomunikasi dan memiliki personaliti yang mesra.
3. Pemimpin pendidikan iaitu yang berkiatan dengan semua pendidikan seperti mementingkan peperiksaan, kemahiran dan lain-lain. Mana yang baik buat kajian untuk mengukur sejauh mana berkesannya kepimpinan sekolah.
4. Pemimpin simbolik iaitu sesuatu yang tidak tercatat dalam surat keliling tetapi sesuatu yang baik dilaksanakan seperti meronda kawasan sekolah, melawat bilik darjah, perasmi majlis, memberi hadiah dan sebagainya.
5. Pemimpin budaya iaitu mewujudkan budaya sekolah atau identiti sendiri.
Dimensi Deskriptis-empiris (DDE – semasa bertugas):
· Apa yang dilakukan semasa mengurus adalah berdasarkan tingkahlaku sebenar seorang pengurus semasa mengurus.
· Mungkin pelaksanaan sesuatu boleh berubah-ubah oleh sebab pengetua sibuk (mesyuarat, panggilan telefon, berbual). Oleh itu, peranan jadi tidak konsisten dan susah menentukan apa yang sedia dirancang, akhirnya perjalanan jadi tidak terancang.
Lain-Lain Kemahiran Kepimpinan Pengetua:
1. Kemahiran interpersonal. Pengetua kena bijak berkomunikasi dalam apa saja bahasa dan bijak dalam mengemukan pendapat.
2. Kemahiran berkomunikasi, wajib bagi seseorang pengetua. Lain kemahiran mendengar, kemahiran menterjemah: Menegak, mendatar dan bawah.
3. Kemahiran keseptual iaitu melihat proses pengurusan secara keseluruhan dengan memikirkan dan merancang sesuatu bagi jangka masa yang panjang ataupun ringkasnya mempunyai misi yang jelas.
4. Kemahiran membuat keputusan iaitu proses berfikir dan membuat pertimbangan. Mula-mula kenal pasti dulu masalah dan puncanya. Kemudian barulah membuat alternatif dan seterusnya pilih alternatif yang terbaik. Mungkin ada orang yang suka dan mungkin jua sebaliknya. Namun sebagai orang bawahan hendaklah hormat dan akur akan segala keputusan pengetua.
Kesimpulan:
Peranan pengetua ialah sebagai ketua, pemimpin, penghubung, pemantau, penyebar, jurucakap, keusahawan, penyelesaian masalah, pengagih sumber, perunding dan penjaga.
4. BUDAYA SEKOLAH
Budaya Formal Sekolah:
Untuk mewujudkan budaya formal sekolah yang berkesan ada terdapat beberapa garis panduan yang ringkas mengenainya:
· Aspek Fizikal:
1. Bangunan dan kawasan persekitaran yang bersih dan sekolah ada ciri-ciri keselamatan.
2. Guru dan murid menggunakan kemudahan alatan mengikut masa-masa yang sesuai. Terdapat alat yang mudah diubah-ubah.
3. Kemudahan ruang bilik darjah, surau, tandas, bilik rehat, tempat bermain dan kawasan yang lain yang sentiasa terkawal. Kedudukan sesebuah sekolah juga perlu mengelakkan daripada gangguan luar seperti bunyi bising dan debu-debu yang berterbangan di jalan-jalan raya berhampiran sekolah.
4. Pemandangan sekolah cantik dan murid rasa cinta kepada keindahan sekolah.
· Aspek Sosial:
1. Perhubungan guru, murid dan masyarakat berjalan dengan baik.
2. Tiada kejadian buruk disiplin/salah laku di kalangan guru dan juga murid.
3. Ada perasaan tanggungjawab, memahami antara satu sama lain, memberi tindak balas yang positif sebarang aktiviti sosial dan bekerjasama di antara komuniti sekolah.
4. Semangat kekitaan dan ada konsep masyarakat penyayang.
5. Ada kegiatan persatuan melalui kerjasama sekolah dengan masyarakat. Melalui kerjasama dengan masyarakat, sekolah dapat mewujudakan ‘budaya keusahawan’, ‘budaya pengurusan kualiti’ dan sebagainya.
6. Peraturan sekolah yang tidak mengancam dan bersifat adil.
7. Kepuasan kerja di kalangan kakitangan sekolah.
8. Guru besar sepatutnya bersifat keterbukaan atau openness dan menghargai sumbangan atau idea orang lain semasa mesyuarat berjalan.
9. Menyanyi lagi kebangsaan, sekolah dan juga negeri agar murid-murid mempunyai semangat patriotik.
10. Mengadakan hari penyampaian hadiah dengan menjemput ibubapa. Ia boleh dibuat semasa sukan tahunan atau hari perjumpaan rasmi dengan ibubapa. Hadiah tersebut biarlah bersifat terbuka dan bukan memberi keutamaan kepada murid-murid yang cemerlang sahaja.
· Aspek Ilmu:
1. Guru dan murid adalah dua golongan yang cinta kepada ilmu. Guru dari semasa ke semasa perlu mendalami ilmu melalui pembacaan, penyelidikan, penyertaan di dalam seminar, bengkel dan bersedia melanjutkan pengajian yang lebih tinggi.
2. Semangat bertanding dalam pencapaian akademik.
3. Bahan bacaan yang mencukupi dan terdapat kemudahan pusat sumber serta tempat membaca yang mencukupi selain daripada dalam bilik darjah dan perpustakaan.
4. Ada kegiatan berunsur ilmu seperti pertandingan bahas, peraduan membaca, berpantun, kemu motivasi, kelas tambahan, penerbitan majalah sekolah, berita sekolah, ‘rakan tutor’ dan sebagainya. Aktiviti tersebut memerlukan kepakaran daripada guru-guru untuk membimbing murid-murid.
5. Aspek budaya ilmu adalah sebahagian daripada tunjang kejayaan murid dan guru di sesebuah sekolah. Jika keyakinan yang kuat dan berpegang teguh kepada kejayaan dan budaya ilmu, kemungkinan besar murid-murid dapat menunjukkan kecemerlangan.
6. Tradisi memahami ilmu secara menyeluruh dan bukan kepada aspek tertentu sahaja akan menambahkan lagi percambahan pemikiran murid dan keyakinan guru untuk menyebarkan ilmu serta kepakaran yang sedia ada.
7. Kalau sesebuah sekolah sudah mencukupi tenaga pengajar, pengetua hendaklah menyediakan pelbagai aliran seperti aliran agama agar semua murid dapat memilih aliran yang mereka suka.
· Aspek Pentadbiran:
1. Seorang pengetua atau guru besar adalah cekap, adil, tegas dan bertanggungjawab.
2. Pengetua mengamalkan ciri-ciri kepimpinan yang demokratik sebagaimana dikehendaki oleh sekolah dan masyarakat.
3. Pengurusan kewangan yang teratur dan cekap.
4. Terdapatnya penyelarasan dalam pembahagian tugas.
5. Pengetua pandai membuat keputusan sekiranya berlaku sebarang masalah.
6. Mengawal mutu kerja.
7. Pengetua perlu memahami matlamat sekolah dan ke mana arah hendak dituju. Kerjasama guru dan murid perlu mencerminkan kesefahaman dan keserasian.
8. Kalau sekolah ingin maju dan dapat menyumbangkan produktiviti, maka guru besar hendaklah mengurangkan tumpuan terhadap aspek pentadbiran dan menumpukan lebih banyak kepada budaya kecemerlangan akademik.
9. Sekolah boleh juga membuat undang-undang yang tersendiri iaitu dari segi larangan merokok, cara gaya pemakaian yang dibenarkan, peraturan di kantin dan pelbagai lagi agar murid-murid semasa berada di sekolah dapat mengawal disiplin diri.
Budaya Pelajar Yang Sihat:
Sebagai seorang pelajar, biasanya peranan dan sifat-sifat yang ditunjukkan tidak jauh beza samada di rumah ataupun di sekolah. Sebagai contoh, seandainya di rumah ada seorang pelajar yang rajin berusaha dan selalu menolong ibubapanya, maka sifat begitu akan terbawa-bawa ke sekolah.
Antara ciri-ciri budaya pelajar yang sihat atau yang bersifat probudaya ialah:
1. Belajar menghormati dan taat kepada guru.
2. Bekerjasama dengan kakitangan sekolah.
3. Berdisiplin, bermoral dan beragama.
4. Menyokong cita-cita sekolah khasnya memajukan perkembangan budaya sekolah baik dari segi fizikal mahupun sosial.
5. Rajin berusaha semasa berada di bilik darjah.
6. Berpakaian kemas dan sentiasa bersih.
7. Melaporkan kepada ibubapa tentang perkara yang mustahak.
8. Berperanan sebagai perantaraan agen sosial sekolah.
9. Bekerjasama dan mempunyai jadual menjaga kebersihan dan peralatan bilik darjah.
10. Tidak melakukan demonstrasi atau tunjuk perasaan.
11. Bersedia untuk melibatkan diri dalam aktiviti persatuan dan sukan sekolah.
Budaya Guru Yang Sihat:
1. Minat kepada profesion perguruan, yakin dan mahir mengajar.
2. Mengambil tahu akan masalah murid dan juga keperluan sekolah.
3. Memiliki sifat yang suka untuk membimbing murid.
4. Berani mencuba sesuatu yang baru.
5. Tegas, amanah dan bekerja dengan ikhlas.
6. Memiliki ilmu dan sentiasa memperbaiki diri.
7. Mempunyai fikiran yang waras dan fizikal yang sihat.
8. Bertindak sebagai pemudahcara agar melicinkan lagi proses pengajaran dan lebih bersifat terbuka.
9. Menjadi role model kepada murid dalam perkara yang baik.
10. Peka dengan masalah dan isu masyarakat semasa.
11. Tidak mudah berputus asa.
Perlukah Budaya Sekolah Diubah?
Ada budaya sekolah yang perlu untuk diubah dan ada jua yang tidak perlu kepada perubahan. Perubahan yang berlaku pada budaya sekolah itu biarlah ia mencerminkan pembaharuan dan kebaikan yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah. Antara perkara-perkara yang boleh dibuat perubahan itu ialah:
1. Mengurangkan orientasi peperiksaan kerana perkara yang perlu diambilkira ialah hasrat atau cita-cita seseorang murid.
2. Jangan wujudkan pengaliran kelas dalam sekolah berdasarkan pencapaian akademik seperti membezakan murid yang cerdik dan lemah di dalam sesebuah kelas kerana ia boleh mewujudkan kecenderungan guru untuk mengajar murid-murid yang pandai sahaja.
3. Tidak boleh melabel murid kerana ia boleh mengakibatkan murid merasa rendah diri dan hilang keyakinan untuk belajar bersungguh-sungguh.
4. Didik murid yang nakal dan bermasalah.
5. Sistem pembahagian hadiah dan memberi penghargaan untuk murid-murid yang terbaik perlu dipelbagaikan. Misalnya, selain memberi hadiah kepada murid-murid yang terbaik, juga diberikan hadiah kepada murid-murid yang rajin datang ke sekolah.
6. Mengurangkan pembelian buku kerja yang berlebihan kerana pihak sekolah sering memaksa murid-murid membeli buku-buku kerja atau pengayaan selain daripada buku teks yang diwajibkan.
7. Perbuatan guru besar yang menghalang murid-murid yang lemah daripada mengambil peperiksaan perlu diubah sekalipun untuk mendapat peratus yang tinggi di dalam peperiksaan tersebut.
5. DISIPLIN SEKOLAH
Konsep Disiplin:
· Masalah disiplin sering terjadi di mana-mana sekolah baik dalam negeri sendiri mahupun di luar negeri. Masalah ini bukan hanya terletak kepada pengetua sahaja, tetapi juga menjadi tanggungjawab guru-guru, ibubapa dan murid-murid sendiri. Sesetengah sekolah, masalah disiplin adalah sukar untuk dikawal sehingga menyebabkan guru-guru menjadi ‘burnout’ (habis ikhtiar).
· Dalam konteks pendidikan di sekolah, disiplin dikaitan dengan kawalan serta peraturan bertulis, kepatuhan, kesetiaan pada sesuatu badan atau orang yang berkuasa, bekerja dengan tertib dan mengikut arahan, menghormati hak individu yang lain, latihan ke arah pembentukan tingkahlaku positif atau akhlak yang mulia, sedia berkhidmat dan penggunaan hukuman atau dendam jika perlu.
· Dalam konteks agama Islam, sebahagian pengertian disiplin ialah pembersihan hati iaitu orang yang mempunyai hati yang bersih adalah tidak mempunyai perasaan dengki, takabur, tamak dan sebagainya serta takut kepada Allah SWT.
· Disiplin amatlah penting kepada individu, keluarga, masyarakat termasuk institusi sekolah dan juga negara. Oleh itu, penggunaan atau pemakaian konsep disiplin adalah meluas. Misalnya:
1. Disiplin ada kalanya digunakan untuk melabelkan suatu bangunan seperti kelas mawar buruk.
2. Di sekolah, murid-murid yang tidak patuh pada peraturan sekolah seperti berambut panjang menunjukkan murid yang tidak berdisiplin.
3. Di rumah, anak-anak perlu dibentuk dan dididik dengan disiplin yang baik, agar apabila mereka berada di sekolah maka keadaan tingkahlaku mereka adalah menyerupai seperti di rumah. Oleh itu, ibubapa mesti menjaga disiplin anak-anak mereka.
4. Dalam pekerjaan seperti askar juga harus ada disiplin agar menjadi individu yang berakhlak mulia, berfikiran rasional, sanggup mematuhi undang-undang dan hak-hak individu lain, bertanggungjawab serta sanggup memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
· Di dalam sesebuah bilik darjah, murid-murid yang berdisiplin adalah penting untuk menghasilkan pencapaian objektif pelajaran yang berkesan. Disiplin bilik darjah yang baik bermakna suasana sosioemosi bilik darjah adalah kondusif dan harmonis, aktiviti dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara sistematik, teratur serta licin, keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan, segala tugas dapat diselesaikan mengikut jadual, sifat tanggungjawab, tolong-menolong, toleransi, kerajinan, kerjasama dan kebersihan dapat dipupuk, dan aktiviti pengajaran-pembelajaran menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan.
· Dalam bilik darjah, bentuk disiplin dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu:
1. Disiplin arahan guru:
Di dalam konteks pengurusan bilik darjah, mengawal disiplin murid-murid merupakan tanggungjawab utama guru. sesebuah kelas yang mempunyai disiplin yang baik akan menjamin segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Oleh itu, guru bertanggungjawab untuk menentukan peraturan-peraturan bilik darjah dan memastikannya sentiasa dipatuhi oleh murid-murid dalam bilik darjah. Kerja guru seperti menentukan peraturan-peraturan, mengawal murid-murid supaya mematuhinya dalam bilik darjah, menghukum murid yang melanggar disiplin merupakan jenis disiplin arahan guru. Di bawah disiplin arahan guru, murid-murid diwajibkan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. Sekiranya terdapat murid yang melanggar disiplin, dia akan dihukum mengikut peraturan atau cara yang difikirkan sesuai.
2. Disiplin arahan ketua murid:
Selain guru, ketua murid juga mempunyai peranan yang penting dalam mengurus disiplin. Dengan lantikan itu ia berkuasa untuk mengawal sosialisasi di dalam bilik darjah seperti melaporkan murid-murid yang membuat bising, berkelahi dan sebagainya.
3. Mengawal disiplin sendiri:
Iaitu ia sedar dan bertanggungjawab bahawa dengan mendisiplinkan dirinya sendiri suapaya tidak menimbulkan masalah disiplin dalam bilik darjah.
· Di dalam bilik darjah, di antara tugas guru itu ialah mendisiplinkan murid-murid melalui pembentukan sahsiah yang baik dan menghayati peraturan seperti mengarahkan murid-murid untuk sentiasa menjaga kebersihan bilik darjah, berkelakuan baik di dalam bilik darjah, menasihati murid agar patuh pada mendirikan sembahyang dan menghormati guru sepanjang masa.
· Pelajar yang tidak ikut kemungkinan akan bersikap nakal, samseng dan melakukan vandalism. Oleh itu, guru juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada murid. Oleh itu, guru-guru yang mempunyai sifat yang negatif terhadap murid-muridnya tidak boleh dijadikan sebagai guru contoh.
· Di antara contoh-contoh vandalism itu ialah:
1. Merosakkan dan mengotorkan harta benda sekolah.
2. Menggangu perjalanan peraturan sekolah yang dianggap penting seperti merosak elektrik, memecat peralatan sekolah, memecah pagar dan sebagainya.
3. Mengeluarkan ideologi ataupun menconteng kata-kata yang tidak senonoh di dinding-dinding sekolah.
4. Membalas dendam terhadap guru dengan memukul guru, merosakkan kereta guru, membakar kereta guru dan lain-lain.
Punca Masalah Disiplin Pelajar Di Sekolah:
· Biasanya pembentukan disiplin adalah bermula dari rumah. Sekiranya anak-anak dididik dengan baik di rumah, maka apabila mereka berada di sekolah, keadaan tingkahlaku mereka adalah menyerupai seperti di rumah. Tetapi apabila disiplin tidak diterapkan dengan baik di rumah seperti ibubapa tidak melarang anak-anak mereka menghisap rokok atau berambut panjang, besar kemungkinan anak-anak boleh menjadi nakal, tambahan lagi dengan adanya pengaruh dari rakan sebaya. Akhirnya, timbul masalah disiplin di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang membuat guru-guru menjadi stress.
· Dalam keadaan tersebut, guru besar atau pengetua mesti mempunyai kuasa penuh dan tegas untuk menghukum murid-murid yang melanggar disiplin sekolah. Pengetua yang tidak cekap mentadbir sekolah seperti jarang membuat rondaan boleh menyebabkan meningkatnya masalah disiplin. Begitu jua halnya jika masalah disiplin yang kecil-kecilan apabila dibiarkan terus tanpa dihukum boleh mendatangkan masalah kepada sekolah.
· Sungguhpun guru-guru biasa jarang diberi kuasa menghukum murid yang melanggar disiplin sekolah, tetapi mereka adalah orang yang bertanggungjawab untuk mengawas disiplin murid samada di dalam bilik darjah, di kawasan sekolah mahupun di luar sekolah. Terdapat sebahagian guru tidak berani menyelesaikan masalah disiplin murid yang membuat kelakuan tidak senonoh di luar sekolah sedangkan guru masih dapat berbuat sesuatu mengenainya. Misalnya, memberi nasihat supaya tidak berkelakuan yang tidak baik. Jika hal ini didiamkan sahaja, sudah pasti murid-murid akan semakin tidak berdisiplin apabila mereka berada di dalam kawasan sekolah.
· Aktiviti bahagian hal ehwal murid tidak berkesan ataupun murid tidak menghayati peranan kokurikulum sekolah. Ini boleh menyebabkan murid-murid merasa bosan hingga mereka memberontak dan mencetuskan masalah disiplin di dalam sekolah.
· Peraturan sekolah yang ketat boleh menyebabkan pelajar menjadi tidak berdisiplin. Akhirnya, murid-murid menjadi degil, tidak mahu mengikut perintah sekolah walaupun setelah didenda beberapa kali.
· Keadaan fizikal sekolah yang tidak bersih dan keadaan bilik darjah yang kurang selesa seperti tidak terurus menyebabkan murid-murid merasa kurang selesa sehingga menjadikan mereka gelisah. Perasaan murid yang kurang selesa merupakan punca masalah disiplin yang berlaku.
· Guru tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab, pakaian tidak kemas, sombong dan tidak mesra. Guru yang mengamalkan kepimpinan bercorak autokratik dan mengawal disiplin murid dengan cara kuku besi juga boleh mewujudkan suasana sosioemosi yang kurang sihat. Perasaan yang kurang sihat ini merupakan salah satu punca yang menimbulkan masalah disiplin di sekolah.
· Pengajaran guru tidak berkesan. Akibatnya murid-murid menjadi bosan hingga mereka memberontak dan mencetuskan masalah disiplin di dalam bilik darjah.
· Guru tidak faham dan tidak pandai melayani kerenah murid yang meningkat dewasa. Apabila ini terjadi, akan menimbulkan rasa bosan dan kecewa, kemudiannya menimbulkan masalah disiplin dalam bilik darjah seperti membuat bising, berbual-bual dengan rakan sedarjah dan sebagainya.
· Mengkelaskan murid-murid yang lemah dan nakal dengan murid-murid yang pandai dan baik juga boleh mendatangkan masalah disiplin kepada sekolah.
Masalah Disiplin Murid Di Rumah:
· Penerapan disiplin itu bermula dari rumah. Ibubapa yang boleh mengawal tindak-tanduk anak-anak mereka kurang mendatangkan masalah berbanding dengan anak-anak yang tiada dikawal dengan baik. Namun ibubapa tidak juga boleh terlalu mengongkong anak-anak mereka.
· Segelintir ibubapa yang terlalu banyak komitment di tempat kerja sering mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak mereka sehingga tidak berkesempatan untuk mendidik anak-anak mereka, bahkan menyerahkannya bulat-bulat kepada guru.
· Ibubapa yang bermasalah juga boleh mempengaruhi tingkahlaku anak-anak. Pengaruh negatif seperti ibubapa yang pemabuk, makan dadah, terlampau garang dan lain-lain adalah mudah dicontohi oleh anak-anak mereka. Aktiviti-aktiviti ini akan dibawa oleh mereka ke sekolah, dan menimbulkan masalah disiplin semasa mereka belajar.
· Keluarga yang berpecah belah akibat perceraian di antara ibubapa juga mempengaruhi tingkahlaku yang bermasalah.
· Sosioekonomi juga boleh menyebabkan murid-murid bersikap agresif. Biasanya, anak dari keluarga yang miskin akan merasakan tempat tinggalnya tidak selesa. Oleh kerana itu, hati mereka selalu memberontak kerana wujud kelas sosial atas dan kelas sosial rendah.
Sikap Murid Sendiri:
· Ada kalanya, murid-murid degil, tidak ikut kata walaupun setelah didenda dan dihukum.
· Murid-murid yang bermasalah biasanya ingin menunjuk-nunjukkan sikap ego dan samseng mereka agar mereka disegani.
· Enggan mendengar nasihat ibubapa dan guru-guru sekalipun berkali-kali dinasihati kerana terlalu mengikutkan kata hati.
· Murid-murid yang dalam usia remaja, biasanya menganggap pendidikan itu tidak penting. Mereka mengabaikan kerja sekolah dan merasa bosan apabila belajar, kemudian mereka ponteng sekolah kerana bagi mereka yang penting adalah keseronokan.
· Pergaulan yang tidak sihat juga boleh mengakibatkan sikap murid itu berubah kepada tingkahlaku yang bermasalah, misalnya berkawan dengan murid-murid yang nakal atau orang-orang yang sudah tidak bersekolah lagi.
Mengatasi Masalah Disiplin:
1. Pengetua atau guru besar perlu membanyakkan membuat perbincangan dan bermusyawarah dengan ahli stafnya dan sentiasa juga berhubung dengan ibubapa untuk mendapatkan maklumat daripada ibubapa mengenai anak-anak mereka, sekurang-kurangnya sebulan sekali. Sebelum membuat suatu keputusan hendaklah difikirkan terlebih dahulu akan rasionalnya keputusan yang akan diambil kerana setiap warga sekolah itu perlu bersifat terbuka dan bijak dalam mengatasi sebarang masalah. Jangan sekali-kali berputus asa dan cuba sedaya upaya mencari jalan yang terbaik untuk mengatasinya dan perancangan yang rapi samada dari aspek akademik mahupun kokurikulum adalah kunci utama bagi murid-murid untuk berjaya. Oleh itu, cuba wujudkan budaya sekolah yang sihat. Ini akan lebih membantu murid-murid daripada bertingkahlaku yang tidak baik dan di samping itu juga dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Aktifkan ‘polis sekolah’ jika perlu agar masalah disiplin dapat diatasi atau dikurangkan. Pengetua atau guru besar juga mempunyai hak untuk merotan murid yang melanggar disiplin jika ia bertujuan untuk mendidik.
2. Bagi guru pula, jangan terlalu menumpukan murid-murid yang cerdik sahaja, malahan murid-murid yang lemah pun perlu diberi perhatian dan jangan sekali-kali guru melabel muridnya dengan sesuatu yang tidak disenangi oleh murid seperti melabel murid sebagai pemalas, bodoh dan sebagainya. Lebih baik lagi jika guru mempunyai kemahiran dalam bidang ilmu pendidikan, psikologi dan kaunseling. Ini boleh mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria dan dapat mewujudkan tingkahlaku yang positif di kalangan pelajar.
3. Kelas pula jangan dibiarkan kosong. Jika guru tidak hadir, dapatkan guru pengganti dengan segera untuk mengelakkan suatu yang tidak diingini berlaku seperti kebisingan, perkelahian di kalangan pelajar dan lain-lain. Peraturan yang dibuat di dalam bilik darjah mestilah rasional dan munasabah serta elakkan peraturan sekolah yang tidak jelas. Apabila ada di kalangan murid yang membawa kemeja-T untuk menggantikan pakaian jika basah atau kotor, bukan digunakan untuk keluar atau ponteng kelas, maka guru tidak perlu memarahi pelajar disebabkan perkara tersebut kerana peraturan yang dibentuk hendaknya jangan terlalu ketat sehingga menekan murid, yang penting guru mestilah adil dan pandai melayani pergaulan murid-muridnya.
6.TANGGUNGJAWAB MORAL SEKOLAH DAN PENGURUSAN TINGKAHLAKU
Tanggungjawab Moral:
Guru merupakan profesion moral selain profesion intelektual. Perbezaan organisasi sekolah dengan organisasi lain ialah guru sering berhubung dengan masyarakat. Oleh itu, guru merupakan pemimpin kepada pelajarnya dan menjadi kewajipan untuk memupuk sikap yang baik kepada komuniti dan masyarakat. Tanggungjawab moral itu ialah:
1. Seorang guru hendaklah mewujudkan hubungan yang unik dengan masyarakat dan komuniti berdekatan. Dengan erti yang lain, guru perlu akur pada budaya setempat. Misalnya, jika ditugaskan mengajar di luar bandar, guru kena faham jika kawasan di luar bandar itu tidak ada hiburan dan sebarang aktiviti yang dijalankan disuatu tempat di mana guru ditugaskan, maka guru kena ikuti.
2. Selain itu, guru hendaklah membuat kerjasama dan pakatan dengan komuniti setempat terutamanya dalam menjayakan berbagai-bagai aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, menghadiri perjumpaan-perjumpaan dan aktiviti-aktiviti sukan. Hubungan ini perlu dibina dan sebenarnya komuniti dapat memberikan banyak sumbangan kepada sekolah misalnya menyumbangkan kewangan, tenaga fizikal dan lain-lain.
3. Hubungan guru dengan masyarakat hendaklah berterusan dan berkekalan. Guru mesti peka terhadap masyarakat sekeliling. Inilah yang membezakan profesion guru dengan profesion yang lain. Misalnya, hubungan masyarakat dengan profesion kedoktoran hanya berlaku semasa perjumpaan dengan pesakit sahaja.
4. Guru mesti menyampaikan segala ilmu melalui timbal balik. Mengajar itu mesti ada langkah-langkah pengajarannya iaitu mesti ada pendahuluan pengajaran, ada isi yang hendak disampaikan dan ada penutup pengajaran sebagai rumusan samada berjaya atau tidak pengajaran guru. Adalah penting bagi setiap guru untuk mengetahui timbal balik ilmu yang diajarkannya.
5. Memberi pengajaran dengan berkesan melalui interaksi dua hala. Guru mesti kreatif, dapat menyelesaikan sebarang masalah dan dapat membuat keputusan yang baik serta boleh mewujudkan perbincangan secara terbuka di kalangan pelajar.
6. Galakkan murid untuk berfikir kerana berfikir itu dapat mencetuskan minda seperti menyoal murid dengan soalan yang bersifat kritis. Contohnya, soal murid kenapa katak dihukumkan haram? Sekurang-kurangnya mereka akan menggunakan akal mereka untuk mendapatkan jawapannya dan ini membantu mereka bersikap lebih matang.
7. Hubungan guru dan murid biarlah selari walaupun ada batasannya iaitu pada masa-masa yang tertentu sahaja. Guru mesti faham akan kehendak mereka. Dengan erti yang lain, hubungan guru dan murid mesti rapat agar tahu akan masalah murid-muridnya dan faham akan harapan mereka supaya dapat dibentuk menjadi orang yang baik, pandai dan boleh berdikari nanti. Inilah kelainan profesion sebagai seorang guru.
8. Guru mesti memberi layanan yang sama rata terhadap murid-muridnya tanpa mengira murid yang pandai atau lemah. Elakkan dari melabel dengan perkara-perkara yang negatif seperti pelajar kurang upaya, pelajar kurang bernasib baik, pelajar berisiko, sekolah bermasalah dan lain-lain. Guru mesti sabar dengan kerenah murid-murid dan lebih baik didoakan mereka agar berjaya dikemudian hari.
9. Menetapkan kelas A, B dan C dengan menggumpulkan murid-murid yang sama pencapaian iaitu pandai dengan pandai, sederhana dengan sederhana dan murid lemah dengan murid lemah dan menamakan setiap kelas itu dengan bentuk warna boleh menimbulkan rasa terkilan kepada murid. Ini perlu dielakkan agar tidak wujud pengkelasan di kalangan murid-murid.
10. Elakkan jangkaan guru terhadap murid. Apa yang penting adalah membekalkan mereka dengan ilmu pengetahuan yang berguna dan guru berusaha membantu semua murid untuk mengadaptasikannya.
11. Wujudkan budaya sekolah yang baik hati, berhemah tinggi, warga sekolah yang penyayang dan bersyukur akan apa seadanya. Galakkan komuniti setempat untuk menyumbangkan pelbagai aktiviti di sekolah.
12. Guru adalah ejen moral kepada pelajar. Oleh itu, guru mesti menunjukkan moral yang baik seperti masuk kelas tepat waktunya, bersedia meminta maaf jika ada membuat kesilapan dan lain-lain.
Pengurusan Tingkahlaku Murid:
Pengurusan tingkahlaku murid adalah merupakan aspek yang penting bahkan sama penting dengan akademik dan lain-lain. Sekolah yang maju dan berdisiplin biasanya menampilkan carta organisasi yang tersusun dan dapat dilaksanakan. Tanggungjawab semua guru adalah penting.
Bidang pengurusan tingkahlaku murid/pelajar meliputi perkara-perkara berikut:
1. Memastikan kebajikan pelajar dan keselamatan pelajar iaitu dari segi keperluan tempat belajar, permainan sukan, perkhidmatan guru kepada murid, bantuan susu untuk sihat agih secara betul, membahagikan buku teks dan lain-lain. dari segi keselamatan pelajar pula ialah memastikan sekolah mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti tempat laluan, tempat murid menunggu ibubapa, memastikan keselamatan murid ketika datang dan balik dan lain-lain.
2. Penilaian pelajarn iaitu fikirkan penilaian murid dalam setahun, sebulan sekali dari segi akademiknya samada boleh mengikuti pelajaran atau tidak. Bimbing mereka agar maju. Penilaian dan pengukuran formatif dan sumatif adalah untuk melihat keputusan mereka sebagai ukuran untuk penempatan kelas seterusnya. Tumpukan perhatian pada murid-murid yang sangat pandai dengan tujuan untuk diasah lagi supaya dapat dialirkan ke jurusan yang tertentu. Sementara murid-murid yang lemah pula jangan diabaikan, bahkan buat kelas penggayaan supaya mereka tidak keciciran dalam pelajaran.
3. Bimbingan dan kerjaya untuk pelajar iaitu membimbing murid untuk terus menuju ke arus kerjaya yang membanggakan. Biasanya, selepas tingkatan 5, murid-murid akan dipantau untuk disalurkan ke jurusan yang berdasarkan bidang mana yang mereka sukai atau bidang yang berpotensi baginya. Misalnya, seorang murid meminati bidang kejururawatan, maka guru perlu membimbing murid itu sehingga berjaya. Beri juga penerangan kepada murid-murid akan kerjaya-kerjaya yang menjanjikan gaji yang lumayan sebagai langkah untuk memotivasikan mereka bagi mengejar kesemuanya itu.
4. Disiplin pelajar.
5. Kokurikulum pelajar adalah bidang yang dianggap sebagai bidang yang baru. Sekiranya kokurikulum diberi pengiktirafan di samping akademik, maklumkan kepada murid-murid mengenainya agar murid-murid lebih menghayati setiap kali kokurikulum dilaksanakan. Walau bagaimanapun, kokurikulum ini adalah bergantung kepada situasi kemahiran murid.
Peranan pengetua pula menubuhkan pelbagai badan atau lembaga atau perundingan seperti:
1. Mengadakan Lembaga Disiplin Pelajar iaitu ada mahkamah disiplin.
2. Membuat Peraturan Sekolah seperti meletakkan peraturan sekolah di papan notis atau ditulis untuk diberikan kepada guru-guru.
3. Membentuk Lembaga Pengawasan Sekolah.
4. Membentuk Kerjasama Guru Bimbingan Dan Kaunseling. Setiap sekolah mesti ada guru bimbingan dan kaunseling terutamanya sekolah menengah untuk mengawasi kelakuan murid.
5. Membentuk Lembaga Pengelola Sekolah termasuklah PIBG bagi mendapatkan sokongan dan bantuan dari mereka.
6. Membentuk Lembaga Tatatertib.
7. Kerjasama dengan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
Matlamat Pengurusan Pelajar:
· Mengadakan aktiviti atau program murid yang berfaedah seperti minggu suai kenal, kursus bimbingan kerohanian, latihan kepimpinan, kem motivasi dan sebagainya.
· Menjadikan murid lebih bertanggungjawab dan berdisiplin.
· Faham akan undang-undang atau peraturan-peraturan sesuatu organisasi. Oleh itu, latih murid mengikut disiplin yang sedia ditetapkan.
·
Tugas Guru Penolong Kanan (HEM)/ Guru Disiplin/ Penyelaras Kokurikulum:
· Sebagai pengawas disiplin dengan memastikan murid-murid dapat menghayati nilai-nilai murni Islam, mengikut undang-undang sekolah dan dapat mematuhi panduan am disiplin sekolah.
· Sebagai penasihat lembaga pengawas sekolah dengan melantik ahli lembaga disiplin sekolah yang berperanan dalam mengambil tindakan segera terhadap murid-murid yang salah laku seperti melakukan jenayah, lucah, anti sosial, memukul guru, minum arak, berjudi, terlibat dengan dadah, samseng dan lain-lain melalui kerjasama dengan pihak polis. Selain itu, penasihat lembaga pegawas sekolah itu termasuk juga mengemas kini rekod pelajar, mengadakan program untuk meningkatkan disiplin pelajar dan menggalakkan guru-guru untuk menunjukkan model yang baik kepada murid-murid.
· Sebagai pemberi bimbingan dan kaunseling iaitu:
1. Memberi tumpuan kepada kerjaya pelajar,
2. Memperkemaskan bilik bimbingan dan kaunseling. Biarlah mempunyai ciri-ciri yang menyenangkan dan mententeramkan jiwa,
3. Menentukan guru bimbingan dan kaunseling adalah daripada kalangan guru yang sudah terlatih dan pandai menangani masalah murid,
4. Memberi pendidikan pencegahan dadah sebagai langkah untuk menghindarkan murid-murid daripada terlibat dengan najis dadah,
5. Merangka program jangka pendek dan panjang,
6. Menentukan semua maklumat murid adalah rahsia,
7. Memberi kesedaran kepada semua pihak tentang pentingnya peranan kaunseling dijalankan disemua sekolah,
8. Menilai program bimbingan dan kaunseling.
· Mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid iaitu:
1. Menyediakan ciri-ciri keselamatan untuk murid-murid seperti memastikan kebersihan kantin dan makanan yang dijual adalah bersih dan halal, menubuhkan jawatankuasa keselamatan, mengawal pintu kawalan keluar masuk, mengawasi kawasan sekolah yang terlindung dan menyediakan skim perlindungan insuran keselamatan yang mana kesemuanya merupakan sebagai satu langkah untuk memastikan murid-murid berada dalam situasi yang selamat ketika pembelajaran sedang berlangsung.
2. Menyediakan segala kemudahan untuk pembelajaran murid-murid seperti menyediakan skim buku teks yang mencukupi.
3. Menyediakan ubat-ubatan dan apa saja bentuk rawatan yang diperlukan seperti menyediakan bilik untuk murid yang sakit, mengemaskinikan kad-kad kesihatan murid dan rekod-rekod kesihatan murid, merancang program kesihatan murid dan lain-lain.
· Menguruskan biasiswa murid-murid setelah selesai pengajian di sekolah tersebut iaitu ke pusat tingkatan 6, keluar negeri, IPT dan lain-lain. Melantik ahli jawatankuasa bagi menguruskan hal-hal biasiswa murid, memproses borang biasiswa, merekod murid-murid yang berjaya mendapatkan biasiswa dan mengenal pasti murid-murid yang bijak dan layak untuk memohon biasiswa.
· Mengurus kokurikulum untuk murid iaitu merancang aktiviti murid, menyelaras persatuan, membentuk koperasi sekolah, mengenal pasti guru dan murid-murid yang berbakat, merangka latihan dan lain-lain.
7. PROFESION PERGURUAN
Pengenalan:
· Guru jangan sekali-kali meragui profesionnya sebagai seorang guru. Sebagai seorang guru, profesion ini hendaklah dimartabatkan. Profesion guru ugama semenjak dulu lagi sangat dikagumi kerana boleh bergaul dengan masyarakat memandangkan ilmu yang mereka miliki samada ilmu dunia maupun ilmu akhirat
Kenapa Profesion Perguruan Perlu Dimertabatkan Dan Diberi Pengiktirafan?
Menurut Tozer dan rakan-rakan (1998), kekurangan yang terdapat dalam profesion guru jika dibandingkan dengan profesion-profesion lain ialah:
· Kualiti dan latar belakang kelayakan akademik calon bakal guru yang selalu dikatakan lebih rendah berbanding profesion lain,
· Kualiti program latihan pendidikan guru yang tidak setakat program profesion lain,
· Disebabkan kualiti kelayakan akademik dan kualiti program latihan yang kurang maka kualiti hasilan guru juga tidak cekap.
Oleh itu, profesion guru perlu dimertabatkan dan diberi pengiktirafan dengan cara:
1. Calon guru mestilah mempunyai kelayakkan setaraf. Di Negara Brunei Darussalam, mestilah mempunyai kelulusan GCE ‘O’ atau ‘A’ Level.
2. Ada ujian bertulis dan pemilihan yang teliti untuk kemasukannya.
3. Jangka masa latihan perguruan kira-kiran 1-4 tahun lamanya termasuk praktikum yang mencukupi. Semasa berkursus, guru-guru latihan akan diajar mengenai kursus-kursus yang berkaitan dengan bidang pendidikan.
4. Tenaga pengajar atau pensyarah mestilah mempunyai kelayakan dalam bidang tertentu khususnya yang berkaitan dengan bidang pendidikan seperti berkemahiran dalam bidang psikologi pendidikan, pedagogi dan lain-lain.
5. Kursus yang hampir sama seluruh dunia khususnya di bidang pendidikan.
6. Setiap negara ada etika kerjanya, masing-masing mesti dipatuhi. Begitu juga dengan etika perguruan yang perlu dipatuhi dan diamalkan. Misalnya, di antara etika seorang guru itu ialah dilarang berkahwin dengan muridnya semasa murid masih belajar. Oleh itu, guru mesti akur mengenainya.
7. Mempunyai kelayakan yang setaraf di peringkat antarabangsa seperti Bachelor Pendidikan, Program Khas Pensiswazahan Guru, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, Kursus Diploma Perguruan Malaysia, Sarjana Muda Perguruan Ugama (Brunei).
8. Para guru digalakan untuk mengambil kursus-kursus yang diberi pengiktirafan rasmi (akreditasi) terhadap sesuatu kursus pengajian, institusi dan sebagainya setelah dinilai dan didapati memenuhi segala kriteria, syarat, kualiti dan sebagainya. Institusi-institusi perguruan ini akan sentiasa dipantau dari semasa kesemasa dari segi kualitinya, kemajuannya dan jua dilihat dari sudut peranan pendidikan semasa.
9. Guru perlu ada sejumlah kemahiran berdasarkan kursus perkhidmatan yang diadakan dari semasa ke semasa seperti perancangan belanjawan, pengurusan sekolah, penyediaan jadual waktu, kenaikan pangkat, ICT, perkembangan staf, penilaian dan prestasi, pengurusan bilik darjah.
10. Guru boleh mengajar pelbagai subjek walaupun bukan pengkhususan utama.
11. Guru mempunyai pengalaman dan mempelajari pelbagai subjek asas seperti psikologi, kurikulum, falsafah, pedagogi, kurikulum, bahasa Inggeris, ICT, Moral dan sebagainya.
· Kini profesion perguruan semakin kompleks dan mencabar. Sebab:
1. Sikap guru sendiri yang memandang rendah terhadap tugas guru. Sepatutnya guru mesti hebat dengan menunjukkan imejnya, ilmunya, kebolehannya, kemahirannya kepada persekitarannya.
2. Masih meragui kod etika keguruan.
3. Tidak tahan dengan baban tugas yang berat. Sememangnya beban guru itu berat walaupun kerja separuh hari kerana guru harus memeriksa kerja-kerja murid yang menyebabkan guru jadi stress tapi jika profesion guru ini dianggap sebagai suatu ibadah, tugas guru jadi tidak berat.
4. Masalah disiplin sekolah.
5. Masyarakat ada yang tidak menghargai guru walaupun 70% masyarakat masih akur terhadap bidang guru itu bagus dan boleh menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.
6. Tertarik dengan bidang pekerjaan yang lain yang menawarkan gaji yang lumayan.
7. Menjadi guru bukan kerana ikhlas tetapi sebagai pilihan terakhir. Bagi seorang guru, keikhlasan itu penting agar ilmu dan perbuatan diberkati oleh Allah SWT.
8. Ada yang meletak jawatan. Guru adalah merupakan warisan para anbiya. Oleh itu, guru tidak boleh berhenti walaupun sampai usia tua.
9. Tidak menghayati betul-betul.
10. Mungkin anggapan gaji guru rendah.
11. Kurang semangat.
12. Kemahiran guru tidak sama, ada yang berkebolehan dan ada pula yang tidak berkebolehan dalam bidang pengajarannya. Begitulah pandangan masyarakat terhadap kebolehan guru. Mereka kurang percaya sebab masih ada lagi guru sementara dan guru sandaran yang dianggap kurang berpengalaman.
13. Guru mengabai masalah pelajar di sekolah.
Kod Etika Keguruan Berasaskan Prinsip:
· Kesaksamaan iaitu mesti adil dalam pengajaran terhadap semua murid tanpa mengira bangsa, darjat, kepintaran dan lain-lain.
· Keterbukaan iaitu sifat guru mesti jujur, ikhlas, bekerjasama dengan semua rakan bukannya hanya mempopularkan diri sendiri dan tidak menjatuhkan nama baik guru.
· Kerahsiaan iaitu rahsiakan maklumat murid terutamanya guru darjah dan guru kaunseling. Ketekunan iaitu guru mesti kerja kuat, jika tidak mutu pelajaran murid sudah pasti tidak menyerlah. Selain itu, kembangkan bakat murid dan jangan sekali-kali berputus asa.
· Kesetiaan terhadap tanggungjawab profesional iaitu:
1. Jaga kesopanan sebagai seorang guru.
2. Di sekolah, guru menjadi pengganti ibubapa, maka kebajikan dan keselamatan murid hendaklah dipedulikan.
3. Guru menjadi model yang baik kepada murid. Oleh itu, tunjukan contoh yang baik untuk ikutan murid.
4. Ajarkan perkara-perkara yang baik dan ada unsur-unsur ilmu. Jangan mengajar yang negatif kerana kesannya pun negatif.
5. Elakkan dari mengajar kelas tambahan yang berbayar. Jangan minta bayaran tapi orang membagi terima saja kerana mengadakan kelas tambahan ini masih lagi termasuk dalam bidang aktiviti sekolah dan etika kerja guru.
6. Tidak meminta dan menerima hadiah yang keterlaluan.
· Mengelakkan konflik kepentingan iaitu elakkan diri dari terpengaruh dengan fahaman ugama dan politik.
Tanggungjawab Profesional Guru:
Tanggungjawab guru terbahagi kepada 4 bahagian, iaitu:
1. Terhadap pelajar,
2. Terhadap sesama guru,
3. Terhadap masyarakat dan negara,
4. Terhadap ibu bapa.
Guru Dan Undang-Undang:
Guru pada masa sekarang perlu mengajar dengan bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama guru juga terikat dengan undang-undang. Antara perkara yang harus dijaga oleh guru besar dan guru-guru biasa ialah:
1. Merotan murid atau menghukum atau membuang murid daripada sekolah. Perlu diingatkan bahawa seorang guru tidak boleh merotan muridnya melainkan guru besar atau pengetua sahaja. Rotan dianggap bahaya dan boleh membawa kesan yang tidak baik. Oleh itu, apabila merotan atau menghukum atau membuang murid daripada sekolah hendaklah difikirkan terlebih dahulu kesan yang berbangkit dan jika perlu jua merotan atau menghukum, jangan melampaui batasan biarlah sekadar memberi pengajaran sahaja.
2. Salah tadbir mengurus kewangan. Dalam urusan kewangan sekolah, perlu ada tandatangan beberapa orang guru sekurang-kurangnya seramai 3 orang untuk mengeluarkan wang. Soal kewangan ini, guru besar atau guru biasa mesti berhati-hati, sifat jujur dan amanah mesti ada dalam diri guru yang memegang kewangan.
3. Guru tidak boleh terlibat dalam politik sekalipun di negara-negara maju, suara guru sangat berkesan di hati orang ramai kerana kepetahannya bercakap.
8.PEKEMBANGAN STAF
Pendahuluan:
Perkembangan staf adalah merupakan keperluan sekolah, kakitangan dan murid. Fokus perkembangan staf meliputi semua aspek bidang persekolahan termasuk bidang sosiologi. Ertinya dalam sebuah sekolah yang merupakan institusi sosial memerlukan guru yang berwibawa. Jika kita sudah mengajar di sebuah sekolah, tahun hadapan ada guru buru, yang difikirkan apa yang akan diajarnya, apa kelulusannya, bidang apa yang diceburinya dan lain-lain. ini penting bagi sebuah sekolah atau institusi pengajian tinggi untuk meningkatkan kerjaya guru.
Perkembangan staf juga merupakan sebahagian yang perlu diketahui oleh guru besar atau pengetua dan guru-guru biasa. Sekolah yang berada di dalam luar bandar haruslah mempunyai guru yang berkemahiran di mana mereka boleh melibatkan diri dan bergaul dalam suasana masyarakat. Dalam masa yang sama masyarakat percaya kepada kebolehan guru-guru dalam bidang-bidang tertentu.
Perkembangan staf yang baik ialah yang mengurangkan kos perbelanjaan, memudahkan proses pembelajaran, mengelakkan kekurangan guru, memudahkan pengurusan pentadbiran sekolah dan juga meningkatkan produktiviti.
Dalam konteks sekolah, staf atau kakitangan bermaksud sekumpulan kakitangan yang bekerja di bawah pengetua samada mempunyai kepakaran atau tidak, mereka akan bersama-sama membantu pengetua dalam mengendalikan perjalanan sekolah. Oleh kerana kakitangan merupakan sumber yang paling berharga di sekolah, maka pengurusan dan perkembangan kakitangan adalah amat penting.
Selain itu, definisi perkembangan staf banyak dikaitkan dengan perkara-perkara berikut:
· Perkembangan personel, latihan dan kursus dalam perkhidmatan:
Menurut penyelidikan Richard, Matthew, Andrew dan Robert (1992), definisi perkembangan personel banyak dikaitkan dengan keperluan pengurusan sumber manusia dalam perkhidmatan awam dan juga swasta, perkembangan individu, perkembangan kumpulan dan kemajuan sistem pengurusan. Latihan pula dikaitkan dengan keperluan kemahiran kakitangan. Manakala kursus dalam perkhidmatan iaitu satu bentuk kursus atau latihan bagi kakitangan khasnya yang baru bekerja bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam pekerjaan untuk kumpulan pekerja yang berkaitan.
· Sokongan daripada individu, kumpulan ke atas organisasi:
Menurut Patricia Partington dan George Brown (1987), perkembangan staf ialah berkaitan dengan sokongan daripada individu, kumpulan, jabatan dan organisasi untuk memahami serta memajukan cara atau pendekatan bidang pekerjaan mereka.
· Pendidikan dan sosialisasi semula.
Menurut Hussein Mahmood (1993), dua bidang yang diperlukan dalam perkembangan staf ialah:
1. Pendidikan semula iaitu membina dan mengembangkan kecekapan-kecekapan yang diperlukan untuk melaksanakan program baru sebalinya mengenapikan kecekapan-kecekapan yang tidak diperlukan.
2. Sosialisasi semula iaitu membina dan menghalusi peranan-peranan dan perhubungan peranan yang diperlukan dalam menangani program baru.
· Memajukan pengajaran dan dapat kemahiran. Kaedah pengajaran mesti berubah-ubah dan mesti ada pembaharuan semuanya untuk melihat potensi murid supaya bakat dapat dicungkil dan diasuh sehingga berjaya. Gagal dalam bidang akademik tidak apa-apa boleh diteruskan dalam bidang yang lain seperti bidang memasak, perhotelan dan lain-lain.
· Memahami di antara satu sama lain.
· Perkembangan kerjaya dan bukan menekankan guru-guru. Guru mesti menambah pengalamannya dari setahun kesetahun. Oleh itu, guru besar perlu menghantar kakitangan untuk berkursus bagi memajukan diri dan membantu guru meningkatkan prestasi, kerjaya, pangkat, gaji dan sebagainya. Tetapi ianya bergantung atas dasar kelayakan masing-masing.
Pelbagai kursus boleh diambil untuk meningkatkan kemajuan guru. Misalnya, mengikuti seminar, kursus dalam cuti, kursus dalam perkhidmatan, kursus ICT yang dianjurkan oleh sekolah, kursus induksi, kursus penilaian, kursus merangka kurikulum, menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan dan peringkat antarabangsa seperti SEAMEO, RESCAM (P.Pinang), RELC (Singapura), INNOTECH (Filipina), BIOTROP (Indonesia), SEARCA (Filipina), SPAFA (Thailand), TROPMED (Thailand).
Tujuan Perkembangan Staf:
Tujuannya untuk keperluan murid, guru dan sekolah
· Bagi murid:
1. Menggalakkan murid tertarik kepada pengajaran guru,
2. Percaya kepada kebolehan guru. Buktinya ramai ibubapa mengharapkan sepenuhnya kepada guru-guru untuk mendidik anak-anak mereka.
· Bagi guru:
1. Meningkatkan kemahiran guru melalui pelbagai bidang,
2. Memahami sesuatu kurikulum yang hendak diajar,
3. Meninggikan imej profesion perguruan,
4. Mengubah selera teknik pengajaran guru,
5. Mendapat kepuasan bekerja,
6. Mengeratkan hubungan guru dengan guru, murid dan masyarakat,
7. Menjadi pakar rujuk untuk murid dan masyarakat,
8. Menimbulkan kesedaran kendiri di kalangan guru-guru,
9. Membolehkan guru naik pangkat.
· Pengurusan sekolah:
1. Pengurusan pengajaran dan penjadualan berjalan dengan licin,
2. Menghasilkan hubungan yang baik dan mesra di antara guru, murid dan kakitangan sekolah,
3. Melatih guru menjadi pemimpin yang bertanggungjawab,
4. Supaya guru besar dapat mengetahui kecekapan guru yang mana perlu ditambah dari setahun ke setahun,
5. Memudahkan guru besar menyusun tugas-tugas guru,
6. Memudahkan untuk mencapai matlamat sekolah.
Keberkesanan Perkembangan Staf:
Untuk memberi keberkesanan dalam program latihan kakitangan, pegawai yang bertanggungjawab perlulah:
· Mengenal pasti calon yang layak berkursus atau melanjutkan pelajaran. Walau bagaimanapun pemilihan boleh berdasarkan kekananan seorang pegawai, kelayakan, pemilihan peringkat atasan dan pegawai yang mencalon diri sendiri.
· Memahami tujuan seminar atau latihan yang perlu diikuti oleh kakitangannya.
· Memastikan ia ada hubungan dengan pihak luar bagi kursus yang diambil.
· Mengemas kini borang, fail dan pencapaian serta kelayakan staf untuk calon yang ingin menyambungkan pelajaran baik dalam negeri mahupun luar negeri.
· Memikirkan tempat latihan yang sesuai (dalaman dan luaran) untuk kakitangan yang hendak dihantar berkursus.
· Memastikan keperluan menghantar kakitangan berkursus itu selaras dengan keperluan sekolah.
· Memilih bidang-bidang yang sesuai untuk kakitangan berdasarkan kelayakan masing-masing.
Model Perancangan (Cara Pelaksanaan Perkembangan Kakitangan):
Sebagaimana yang telah diterangkan aktiviti perkembangan kakitangan meliputi pelbagai aspek. Ia bukan sahaja berkaitan dengan keperluan dan pengisian guru-guru baru atau tambahan tetapi juga merangkumi kemahiran yang harus dimiliki oleh setiap orang guru. Untuk itu perancangan yang rapi perlu diadakan oleh guru besar. Berikut adalah salah satu contoh model perancangan:
1. Senaraikan jenis perancangan dan sumber yang ada seperti jumlah guru yang diperlukan, bilik darjah, bilangan murid, alat komputer, jumlah kewangan dan lain-lain.
2. Keperluan organisasi atau individu/penyertaan
3. Objektif latihan dan faedahnya.
4. Bagaimana melaksanakan berdasarkan senarai perancangan. Siapa yang akan menguruskan, mengikuti aktiviti, bilangan ramai peserta dan peruntukan masa yang diperlukan.
5. Penilaian semula samada objektif tercapai dan perubahan telah berlaku atau sebaliknya.
Perkara Lain Yang Perlu Ada:
Untuk memudahkan perancangan dan penjimatan wang, masa dan tenaga, pengetua harus mengambil kira perkara-perkara berikut:
1. Mengutamakan perkara-perkara yang penting dahulu.
2. Lebih mementingkan matlamat sekolah daripada matlamat individu.
3. Pastikan semua mendapat faedah.
4. Dalam program perkembangan staf, guru besar mesti mengambil kira semua aspek.
5. Memilih lokasi untuk berbengkel atau berkursus yang sesuai dan selesa.
6. Dapatkan penceramah yang sesuai dan tidak membosankan peserta.
7. Dijalankan secara sistematik dan mengenal pasti keperluan dan objektif perkembangan kakitangan. Mengadakan kumpulan kecil di dalam sesi perbincangan adalah digalakan.
8. Galakkan peserta menilai dan memberi komen mengenai kursus yang diikuti.
9.PENGALIRAN / PENJURUSAN & PENEMPATAN KELAS
1. Sekolah masa kini suka menjuruskan atau mengalirkan mengikut peringkat kepandaian murid-murid. Misal pengaliran yang paling ketara sekali apabila murid-murid yang mencapai 5A di dalam peperiksaan PSR akan ditempatkan di sekolah Menengah Maktab Sains. Semuanya dibuat oleh pihak Kementerian Pendidikan dan ada juga terdapat pengaliran yang dibuat sendiri oleh pihak guru besar atau pengetua sesebuah sekolah yang membahagikan murid-murid berdasarkan perkara-perkara berikut:
1. Berdasarkan kepandaian murid iaitu murid yang pandai diletakkan pada kelas A, yang sederhana diletakkan pada kelas B dan yang bodoh atau lemah diletakkan pada kelas C.
2. Berdasarkan pelabelan blok seperti blok A khusus untuk murid-murid yang pintar saja, blok B khusus untuk murid-murid yang sederhana dan seterusnya.
3. Berdasarkan jenis sekolah yang ditubuhkan. Misalnya, di negara Brunei, murid-murid yang berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan PSR akan dialirkan ke sekolah menengah sains.
4. Berdasarkan penilaian markah yang diperolehi selepas peperiksaan. Misalnya, bagi murid-murid yang mencapai markah 80% - ke atas akan dialirkan pada kelas A, yang mendapat 60% - 79% dialirkan pada kelas B dan kurang daripada itu dialirkan kelas yang seterusnya.
5. Berdasarkan penempatan kelas. Misalnya, ujian bahasa Inggeris semata-mata untuk menentukan kelas-kelas tertentu.
Kesan Pengaliran Kelas Kepada Guru Dan Murid:
1. Jurang perbezaan semakin meluas di mana akan wujud rasa rendah diri antara guru-guru dengan kelas yang diperendahkan dan kemungkinan aktiviti atau perjalanan pengajaran juga tidak dapat kerjasama yang sepenuhnya daripada guru dan juga murid.
2. Menempatkan murid yang lemah ke kelas tercorot tidak semestinya memudahkan guru membimbing atau membantu mereka, bahkan membosankan dan melemahkan semangat guru untuk mengajar. Lebih-lebih lagi guru-guru yang mengajar di kelas yang tercorot ialah guru yang tidak berpengalaman dan guru yang hendak bersara. Oleh itu guru-guru tersebut tidak ada motivasi lagi untuk menaikkan martabat murid-murid yang menghuni di kelas yang tercorot. Akhirnya, murid akan ponteng dan kurang daya bersaing.
3. Akan mewujudkan stratifikasi sosial mengikut latar belakang status sosio ekonomi kerana biasanya murid yang pandai datang dari keluarga yang kaya.
4. Banyak kajian menunjukkan pelajar yang tidak berdisiplin datangnya daripada mereka yang ditempatkan ke kelas lemah dan guru pula kurang memberi perhatian kepada mereka. Oleh itu, budaya anti sekolah akan wujud dengan senang sekiranya guru tidak berhati-hati menangani masalah pembahagian kelas.
5. Keadaan ini juga boleh menyebabkan hubungan pelajar-pelajar akan menjadi kurang mesra kerana murid yang bijak hanya berkawan berdasarkan group masing-masing. Misalnya, pelajar pandai hanya belajar dengan yang pandai saja. Akhirnya akan wujud anti berkomunikasi dengan kumpulan lain dan pergaulan boleh menjadi tegang.
6. Guru-guru juga merasa bosan dan selalu mengutuk mrid-murid yang berada di kelas lemah. Bahkan, jangkaan guru rendah kepada pelajar lemah di mana guru tidak mengharapkan sangat kepada murid-murid yang lemah untuk mendapat kelulusan yang baik semasa menjelangnya peperiksaan. Sedangkan murid-murid yang terpilih ke kelas bijak, jangkaan guru terhadap mereka adalah lebih tinggi dan bersifat positif.
7. Pelajar yang dianggap merasa diri mereka telah pandai oleh sebab terpilih ke kelas tertentu akan merasa megah dan sombong. Sementara pelajar yang dicap atau dilabel sebagai lemah akan merasa tersingkir dan memberi kesan kepada prestasi dalam akademik dan juga emosi.
8. Murid yang diletakkan di kelas yang terbaik atau di kelas aliran sains mungkin rasa tertekan jua kerana guru terlalu mengharapkan pencapaian yang tinggi.
Cara Mengatasinya:
Ramai pakar-pakar dalam pendidikan mengatakan membezakan murid-murid mengikut kelas tertentu akan memberi kesan yang kurang baik. Telah terbukti bahawa tidak semua murid yang dikumpulkan ke dalam kelas yang terbaik itu akan dapat mengekalkan prestasi mereka. Sesetengahnya ada yang lebih rendah daripada kelas yang tidak terbaik. Oleh itu, pengukuran murid-murid adalah kurang tepat dan pencapaian mereka adalah berubah-ubah mengikut umur dan tingkatan. Pihak sekolah tidak perlu lagi mengalirkan murid kerana setiap tahun murid-murid di dalam sesuatu kumpulan akan dipecahkan semula berdasarkan prestasi tahunan.
Untuk mengatasinya ialah:
· Tempatkan murid ke dalam sesebuah kelas yang merangkumi semua jenis pencapaian atau kebolehan dan kemudian memastikan setiap darjah terdiri daripada bilangan murid yang sama tahap kebolehannya iaitu secara saksama. Jadi sebuah kelas mempunyai murid yang pandai, sederhana dan lemah adalah sama ramainya.
· Sebenarnya guru memang boleh mengajar tidak kira siapa yang diajar samada murid yang pandai atau yang lemah. Ini bererti pelajar yang lemah boleh meningkat sekiranya diberi bimbingan yang betul dan adalah lebih baik lagi jika mereka dimasukkan ke kelas yang agak pandai kemungkinan prestasi mereka boleh meningkat dari semasa ke semasa.
· Sebagai seorang guru, ia perlu menaruh harapan yang lebih baik kepada murid-murid di bawah bimbingannya tidak kira samada murid-murid yang bijak, sederhana mahupun yang lemah. Beri motivasi yang tinggi kepada murid-murid agar minat dan prestasi mereka akan lebih meningkat dari semasa ke semasa.
Hjh Hamidah.
Syr/07.
Thursday, 21 May 2009
Posted by khairie178 at 03:58
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment